ACCRA: Ghana menjadi negara pertama di dunia meluluskan penggunaan vaksin baharu untuk mencegah penyakit malaria yang berpunca daripada gigitan nyamuk.
Pasukan penyelidik dari Universiti Oxford yang membangunkan vaksin itu, menyifatkannya sebagai `pengubah dunia’.
Lapor BBC, vaksin dikenali sebagai R21 dikatakan amat berkesan, berbeza dengan usaha terdahulu dalam bidang yang sama.
Pengawal selia ubat-ubatan Ghana sudah menilai data klinikal terakhir mengenai keselamatan dan keberkesanan vaksin sebelum memutuskan untuk menggunakannya.
Setakat ini, data klinikal terakhir itu masih belum didedahkan kepada umum.
Dilaporkan, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) juga sedang mempertimbangkan untuk meluluskan vaksin berkenaan.
Penyakit malaria menyebabkan kira-kira 620,000 orang meninggal dunia setiap tahun, yang kebanyakannya merupakan kanak-kanak.
Data klinikal daripada kajian awal di Burkina Faso menunjukkan vaksin R21 mampu mencapai sehingga 80 peratus keberkesanan apabila diberikan sebagai tiga dos awal dan dos penggalak setahun kemudian.
Namun, penggunaan vaksin secara meluas bergantung kepada keputusan percubaan yang lebih besar melibatkan hampir 5,000 kanak-kanak.
Agensi Pemantauan Makanan dan Ubat-Ubatan Ghana meluluskan penggunaan vaksin mencegah malaria itu pada kanak-kanak berumur antara lima bulan hingga tiga tahun.
Negara-negara Afrika lain dan WHO juga sedang mengkaji data berkenaan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Serum di India, Adar Poonawalla berkata, syarikatnya bersiap sedia untuk menghasilkan sebanyak 100 hingga 200 juta dos vaksin setahun.
Katanya, ia mampu dihasilkan dengan kilang pengeluaran vaksin sedang dibina di Accra, Ghana.
“Ghana sebagai negara pertama yang meluluskan vaksin itu, mewakili pencapaian penting dalam usaha memerangi penyakit malaria di seluruh dunia,” katanya.