Gencatan senjata di Sudan gagal redakan konflik

Gencatan senjata di Sudan gagal redakan konflik

SEMAKIN banyak rakyat Sudan melarikan diri ke beberapa negara jiran bagi mendapatkan perlindungan. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KHARTOUM: Pasukan tentera Sudan dan pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF) mencapai persetujuan untuk melanjutkan gencatan senjata yang sebelum ini berlangsung selama 72 jam.

Hasil perbincangan daripada kedua-dua belah pihak, gencatan senjata terbaharu itu akan dilaksanakan selama 72 jam lagi susulan usaha perdamaian yang dilakukan oleh Arab Saudi dan Amerika Syarikat (AS).

Biarpun gencatan senjata dilanjutkan, beberapa siri pertempuran masih dilaporkan berlaku di Khartoum, menyaksikan pasukan tentera Sudan dan RSF saling berbalas tembakan.

Gencatan senjata sebelum ini juga gagal menghentikan ketegangan yang berlaku, namun cukup ‘memberi masa’ kepada puluhan ribu rakyat negara ini mendapatkan perlindungan di kawasan yang lebih selamat dan memastikan warga asing dapat dihantar pulang ke negara asal menerusi jalan laut serta udara.

Tentera Sudan setakat ini menegaskan pasukannya sudah mengawal sebahagian besar kawasan di negara ini, namun sukar ‘merampas’ Khartoum dari RSF.

Serangan udara dan bunyi letupan juga dilaporkan berlaku di sekitar kawasan di Khartoum, serta di bandar Omdurman dan Bahri.

Dalam pada itu, Washington menzahirkan kebimbangan sekiranya gencatan senjata terbaharu dicabuli kedua-dua pihak, sekali gus menyebabkan situasi terus memburuk.

Sehubungan itu, kerajaan AS menggesa semua rakyatnya yang masih berada di Sudan supaya segera meninggalkan negara itu dalam tempoh 24 hingga 48 jam akan datang.

RATUSAN TERBUNUH

Sekurang-kurangnya 512 orang dilaporkan terbunuh dan hampir 4,200 cedera sejak konflik di Sudan bermula pada 15 April lalu.

Sehingga kini, konflik sudah pun merebak sehingga ke wilayah Darfur yang sudah pun bergolak akibat perang saudara sejak dua dekad lalu.

Kumpulan hak asasi, Darfur Bar Association memaklumkan, sekurang-kurangnya 52 orang terbunuh dalam beberapa serangan di kawasan kejiranan di bandar El Geneina, selain di hospital, pasar dan bangunan kerajaan.

BANTUAN SUKAR DISALUR

Situasi yang terus meruncing secara tidak langsung menyukarkan proses bantuan kepada rakyat Sudan, terutamanya menghantar bekalan makanan.

Satu per tiga daripada 46 juta penduduk Sudan sebelum ini sudah pun bergantung kepada bantuan kemanusiaan dan konflik yang berlaku menyebabkan keadaan semakin kritikal.

Program Makanan Sedunia turut menzahirkan kebimbangan dengan memberi amaran bahawa jutaan penduduk negara ini bakal berdepan krisis kebuluran.

Ketua Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Sudan, Abdou Dieng berkata, pelbagai pihak bimbang dengan situasi semasa, terutamanya mengenai bekalan asas yang semakin berkurangan.

Selain itu, Kesatuan Doktor Sudan memberitahu, 60 daripada 80 hospital di zon konflik tidak lagi berfungsi.

Sementara itu, sekurang-kurangnya 20,000 rakyat Sudan melarikan diri ke Chad, 4,000 ke Sudan Selatan, 3,500 ke Ethiopia dan 3,000 lagi ke Republik Afrika Tengah. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya