Dua produk mi segera dikesan mengandungi bahan penyebab kanser    - Utusan Malaysia

Dua produk mi segera dikesan mengandungi bahan penyebab kanser   

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAIPEI: Dua produk mi segera jenama Malaysia dan Indonesia yang dijual di Taipei, Taiwan dikesan mengandungi bahan yang menyebabkan penyakit kanser atau karsinogenik.

Jabatan Kesihatan Taipei mengumumkan penemuan bahan itu selepas melakukan pemeriksaan terhadap mi segera yang terdapat di pasaran bandar itu pada tahun ini.    

Jabatan itu dalam kenyataan memaklumkan pihaknya mendapati sejumlah mi segera jenama ‘Ah Lai White Curry Noodles’ dari Malaysia dan ‘Indomie: Special Chicken Flavour’ buatan Indonesia mengandungi etilena oksida iaitu  sebatian kimia dikaitkan dengan penyakit limfoma dan leukemia. 

Memetik laporan Focus Taiwan, berdasarkan hasil pemeriksaan, jabatan itu mengesan etilena oksida dalam mi dan paket perencah produk dari Malaysia.

“Bagi produk mi segera Indonesia pula, bahan karsinogenik itu hanya dikesan dalam peket perencah,” jelas jabatan itu.

Dilaporkan, Jabatan Kesihatan Taipei sudah mengarahkan semua premis perniagaan di bandar itu menarik balik penjualan kedua-dua produk mi segera terbabit yang didapati mengandungi etilena oksida.

Tambah jabatan itu, pihaknya juga akan mengenakan denda antara NT$60,000 (RM8,712) hingga NT$200 juta (RM29.04 juta) ke atas pengimport produk berkenaan. 

Berdasarkan maklumat disiarkan di laman sesawang Biro Bahan Kimia dan Toksik di bawah Pentadbiran Perlindungan Alam Sekitar peringkat Kabinet, etilena oksida adalah beracun sekiranya dimakan atau dihidu.

Selain menyebabkan penyakit limfoma dan leukemia, etilena oksida juga diketahui boleh menyebabkan kerengsaan kulit dan mata yang serius kepada mana-mana individu yang terkena bahan itu.

Malah, etilena oksida juga berisiko menyebabkan kecacatan kelahiran dan keturunan.

Dalam pada itu, Ketua Bahagian Makanan dan Ubat-Ubatan dibawah Jabatan Kesihatan Taipei, Chen Yi-ting berkata, pemeriksaan mi segera itu dilakukan dengan memilih 30 produk secara rawak dari pasar raya, kedai serbaneka, pasar basah tradisional, kedai makanan Asia Tenggara dan pengimport borong di bandar itu.   

Sementara itu, jurucakap syarikat pengeluar mi segera Malaysia berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai perkara tersebut.

Katanya, pihaknya sudah menghantar sampel produk mi segeranya untuk diuji di makmal bagi memeriksa sama ada terdapat kandungan karsinogen sepertimana didakwa oleh Jabatan Kesihatan Taipei.

“Kami sudah menghantar sampel produk ke makmal untuk diuji dan sedang menunggu keputusan.

“Sebelum ini, kami tidak pernah menghadapi masalah seperti ini malah tiada sesiapa pernah melemparkan dakwaan demikian sejak mula beroperasi pada 2014,” katanya. – AGENSI  

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya