MEXICO CITY: Dua orang maut dan seorang kanak-kanak cedera selepas belon udara panas dinaiki mereka, terbakar ketika terbang berhampiran kawasan tapak arkeologi Teotihuacan di Mexico.
Menurut kerajaan negeri dalam satu kenyataan, penumpang tersebut melompat keluar dari belon udara panas terbabit bagi menyelamatkan diri.
Kerajaan negeri memaklumkan mangsa yang maut masing-masing merupakan wanita berusia 39 tahun dan lelaki berumur 50 tahun, tanpa mendedahkan nama mereka.
Katanya, kanak-kanak itu pula mengalami luka bakar tahap dua di muka dan patah tulang paha kanan.
Bagaimanapun, kerajaan negeri tidak menyatakan sama ada terdapat penumpang lain yang menaiki belon udara panas itu.
Rakaman video dimuat naik di media sosial menunjukkan gondola belon udara panas itu terbakar ketika berada di langit yang cerah.
Beberapa pengendali pelancongan menawarkan perkhidmatan belon udara panas di Teotihuacan, kira-kira 70 kilometer (km) timur laut Mexico City, dengan harga sekitar AS$150 (RM661.70).
Teotihuacan merupakan destinasi pelancongan yang popular menempatkan monumen zaman pra-Columbus. – AFP