CANBERRA: Seorang artis dari Australia memecahkan Rekod Dunia Guinness selepas berjaya mencipta rambut palsu selebar 2.58 meter.
Lapor portal UPI, Dani Reynolds menerima pengiktirafan itu bagi kategori ciptaan rambut palsu paling lebar di dunia.
Menurut Rekod Dunia Guinness, Reynolds menghasilkan warna dan tekstur rambut palsu itu berdasarkan rambut sendirinya.
Malah, jelas agensi penarafan itu, Reynolds juga mencipta sebuah substruktur khas untuk menyokong berat fabrik rambut palsu yang dihasilkan itu.
“Struktur sokongan itu antaranya diperbuat daripada topi keledar basikal, paip Polyvinyl Chloride (PVC), pengikat kabel dan rod aluminium,” jelas agensi itu.
Sementara itu, Rekod Dunia Guinness memaklumkan Reynolds berjaya mengatasi rekod yang dipegang oleh pelakon Drew Barrymore sebelum ini.
Barrymore pernah memakai rambut palsu selebar 2.23 meter dalam rancangan The Tonight Show dihoskan oleh Jimmy Fallon pada tahun 2017.