NAIROBI: Sekurang-kurangnya 90 mayat dipercayai pengikut ajaran sesat yang mengikut arahan seorang paderi untuk berpuasa sehingga mati, ditemukan di sebuah tapak perkuburan di Kenya.
Polis mengesahkan sebahagian besar mayat mangsa ajaran sesat itu merupakan kanak-kanak.
Malah, kata polis, operasi mencari baki mayat terpaksa dihentikan buat sementara waktu memandangkan kebanyakan rumah mayat sudah penuh.
Penemuan kubur besar di hutan Shakahola berhampiran pekan pesisir pantai Malindi mengejutkan rakyat Kenya selepas suspek, paderi sebuah gereja, Paul Mackenzie Nthenge dituduh memaksa pengikutnya berlapar sebagai satu-satunya cara untuk menemui Tuhan.
Pihak berkuasa bimbang kemungkinan akan ada lebih banyak mayat selepas 17 mayat ditemui semalam.
Sebelum ini, mayat lima sekeluarga iaitu tiga kanak-kanak bersama ibu bapa mereka, ditemukan dalam satu kubur.
Dilaporkan, angka kematian meningkat secara berterusan sejak tiga hari lalu ketika kerja penggalian bagi mencari lebih banyak mayat mangsa ajaran sesat itu giat dijalankan.
Malah, jumlah itu dijangka meningkat lagi memandangkan Palang Merah Kenya mendakwa seramai 112 orang dilaporkan hilang dan tidak dapat dikesan setakat ini.
Berdasarkan laporan siasatan awal, kesemua pengikut paderi berkenaan percaya bahawa mereka akan ke syurga sekiranya mereka mati kelaparan.
Nthenge ditahan berikutan maklumat yang mencadangkan kewujudan kubur yang mengandungi sekurang-kurangnya 31 pengikut.
Minggu lalu, puluhan mayat ditemukan di kawasan hutan seluas 325 hektar yang diisytiharkan sebagai tempat jenayah.
Sementara itu, Menteri Dalam Negeri, Kithure Kindiki berkata, pihaknya belum dapat pastikan jumlah individu yang terbunuh atau berapa banyak kubur yang ada namun jenayah dilakukan itu sudah cukup bagi mendakwa Nthenge atas tuduhan keganasan. – AGENSI/AFP