PUNJAB: Sekurang-kurangnya 11 orang maut dan empat lagi cedera dalam insiden kebocoran di India, lapor pihak berkuasa.
Kebocoran gas tersebut dilaporkan berlaku di Giaspura, kawasan perindustrian Ludhiana di negeri utara Punjab.
Anggota Pasukan Tindak Balas Bencana Kebangsaan bergegas ke lokasi kejadian dan pegawai polis dengan memakai pelitup muka dilihat berkawal dan meminta penduduk tempatan menjauhi kawasan tersebut yang sudah ditutup.
Pegawai polis berkata, pihak berkuasa masih menyiasat punca kejadian dan jenis gas yang bocor hingga membawa maut itu.
“Seramai 11 maut dan empat lagi sudah dibawa ke hospital. Operasi menyelamat masih dijalankan,” kata pegawai itu.
Kebocoran gas industri di India sering berlaku berikutan standard keselamatan yang lemah serta kekurangan pemeriksaan berkala.
Ogos lalu, sekurang-kurangnya 112 wanita dimasukkan ke hospital selepas masalah kebocoran gas berlaku di sebuah kilang menjahit pakaian di selatan Andhra Pradesh.-AFP