PARIS: Syarikat TikTok mengumumkan akan memperkenalkan had masa skrin harian secara automatik selama satu jam bagi semua akaun pengguna yang berumur di bawah 18 tahun.
Keputusan itu dibuat ketika aplikasi media sosial itu berdepan kritikan mengenai masalah ketagihan dalam kalangan pengguna muda.
Menurut TikTok, pengguna dibawah 18 tahun akan diminta memasukkan kod laluan bagi membolehkan terus menonton selepas had masa 60 minit yang ditetapkan.
Jelas syarikat itu, akaun pengguna di bawah 13 tahun pula memerlukan ibu bapa atau penjaga menetapkan atau memasukkan kod laluan sedia ada untuk membenarkan 30 minit masa tontonan tambahan sebaik sahaja had sejam sudah tamat.
Aplikasi perkongsian video singkat itu turut memaklumkan perubahan itu akan dilaksanakan dalam beberapa minggu akan datang.
“Sekiranya pengguna muda mengakses TikTok melalui akaun keluarganya maka ibu bapa boleh menetapkan masa skrin maksimum untuk anak-anak mereka berdasarkan hari dalam minggu itu,” jelas syarikat itu.
Douyin yang merupakan versi TikTok China, mengehadkan penggunaan harian selama 40 minit kepada individu dibawah 14 tahun, malah mereka tidak boleh mengakses aplikasi itu antara pukul 10 malam dan 6 pagi.
Berdasarkan kajian terbaharu dijalankan oleh aplikasi Qustodio, kanak-kanak bawah umur menghabiskan masa kira-kira sejam 47 minit melayari TikTok setiap hari pada 2022. – AFP