LONDON: Hasil risikan Kementerian Pertahanan United Kingdom (UK) melaporkan, pasukan tentera simpanan Russia didapati hanya menggunakan pencedok kecil sebagai senjata dalam pertempuran di Ukraine berikutan kekurangan bekalan senjata api dan peluru.
Kementerian itu dalam kemas kini risikan terbaharunya melaporkan, pada penghujung Februari lalu, pihak tentera simpanan itu diarah menyerang kedudukan Ukraine tetapi hanya berbekalkan senjata api dan alat pencedok kecil.
STOK SENJATA BERKURANGAN
Laporan risikan itu menyebut, senjata tangan dikenali sebagai MPL-50 yang direka pada tahun 1869 itu dijadikan alat pertahan kepada tentera simpanan.
“Penggunaan berterusan pencedok kecil sebagai senjata menyerlahkan pertempuran kejam dan berteknologi rendah yang menjadi ciri kebanyakan peperangan.
“Salah seorang tentera simpanan menggambarkan keadaannya yang tidak bersedia secara fizikal mahupun psikologi dengan peperangan itu,” jelas laporan itu.
Menurut BBC, laporan tersebut turut memperincikan bukti terkini yang menunjukkan peningkatan dalam pertempuran jarak dekat dan pertarungan satu lawan satu di Ukraine.
“Situasi ini mungkin hasil daripada perintah Russia yang terus mendesak tindakan serangan walaupun ketiadaan sokongan tembakan artileri kerana Russia kekurangan peluru,” kata laporan itu.
Kementerian tersebut bagaimanapun tidak memberikan maklumat lanjut tentang lokasi pertempuran seperti itu berlaku.
JERMAN LARANG CHINA BEKAL SENJATA
Dalam pada itu, Canselor Jerman, Olaf Scholz memberi amaran tentang akibat yang akan ditanggung sekiranya China menghantar senjata ke Russia untuk menaja perang Moscow di Ukraine.
Meskipun begitu, beliau optimis Beijing akan mengelak daripada berbuat demikian.
Amaran tersebut dibuat Scholz ketika temu bual dengan CNN selepas beliau bertemu Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden di Washington.
Pegawai AS sebelum ini memberi amaran mengenai China yang dikhuatiri mampu bertindak dan mula menyediakan senjata dan peluru kepada Moscow.
Dalam perkembangan itu, Scholz turut menggesa Beijing supaya mengelak daripada menghantar senjata, sebaliknya menggunakan pengaruh untuk menekan Russia supaya mengundurkan tenteranya dari Ukraine.
KUASAI BANDAR BAKHMUT
Sementara itu, Institut Kajian Perang (ISW) melaporkan, tentera Russia berkemungkinan memperoleh kelebihan kedudukan yang mencukupi di bandar Bakhmut.
Bakhmut berdepan pertempuran selama berbulan-bulan ketika Russia cuba menguasai bandar kecil itu yang masih dihuni kira-kira 4,000 orang awam.
Satu kenyataan oleh Staf Am Angkatan Tentera mengakui bahawa tentera Russia masih cuba mengepung bandar itu, tetapi mengatakan lebih 100 serangan berjaya dipatahkan di wilayah timur Donbas sejak beberapa hari lalu.
Beribu-ribu tentera Russia dilaporkan maut ketika cuba merebut Bakhmut yang mempunyai populasi sebelum perang sekitar 75,000 orang.