Tanah runtuh ragut 18 nyawa, Natuna isytihar darurat  - Utusan Malaysia

Tanah runtuh ragut 18 nyawa, Natuna isytihar darurat 

PASUKAN penyelamat memeriksa kerosakan dan mencari mangsa tanah runtuh di Kepulauan Natuna di Riau.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Pemerintah wilayah Natuna di Kepulauan Riau mengisytiharkan darurat berikutan insiden tanah runtuh yang mengorbankan lebih 18 nyawa dan menyebabkan puluhan lagi hilang di kawasan pulau paling luar di Indonesia itu.

Beberapa gambar yang diedarkan Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) menunjukkan lumpur dan serpihan tanah runtuh menenggelamkan beberapa rumah yang terletak berhampiran tebing di Pulau Serasan.

Serpihan zink atap yang tercabut dari bumbung rumah dan pokok tumbang juga boleh dilihat dengan jelas.

Keadaan cuaca buruk serta masalah jaringan komunikasi yang terputus merumitkan usaha menyelamatkan mangsa yang tertimbus.

“Dalam kemas kini terbaharu, 47 orang masih hilang manakala lebih 1,216 penduduk terpaksa dipindahkan selepas rumah mereka ranap ditimbus tanah,” kata Ketua Agensi Mencari dan Menyelamat Natuna, Abdul Rahman.

Penduduk di daerah Karimun, Iptu Sri Siswanto berkata,  puluhan penduduk Desa Genting sedang bergotong-royong mengangkat pokok yang tumbang ketika kejadian berlaku.

“Semasa gotong-royong itu, terdengar bunyi yang sangat kuat seperti guruh dari arah Gunung Jemenang.

“Tidak lama kemudian, tanah runtuh dan batu-batu besar menggelongsor ke arah penduduk yang sedang membersihkan kawasan dan memusnahkan  penempatan di Kampung Genting yang menghadap laut,” katanya kepada Kompas TV.

Sementara itu, jurucakap Agensi Badan Mitigasi Bencana Kepulauan Riau, Junainah berkata, jaringan komunikasi yang terputus antara pulau Borneo dengan Semenanjung Malaysia menyukarkan pihak berkuasa mendapatkan maklumat terkini.

“Cuaca sukar dijangka. Angin amat kuat dan ombak sangat tinggi,” ujarnya.– AFP/AGENSI 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya