WASHINGTON: Sebuah rangkaian restoran di Amerika Syarikat (AS) disaman seorang pelanggan selepas mendakwa menu kepak ayam tanpa tulang yang dihidangkan sebenarnya merupakan nuget ayam.
Lapor portal Sky News, Aimen Halim menyaman rangkaian restoran Buffalo Wild Wings atas dakwaan melakukan pemasaran palsu dan mengelirukan.
Lelaki yang berasal dari Chicago itu memfailkan saman berkenaan di sebuah mahkamah daerah di Illinois.
Dalam pernyataan tuntutan, Aimen mendakwa membeli hidangan kepak ayam tanpa tulang di restoran rangkaian Buffalo Wild Wings yang terletak di Mount Prospect, Illinois pada Januari lalu.
Jelas pernyataan itu, dia membeli hidangan kepak ayam tanpa tulang itu setelah meneliti huraian makanan pada menu restoran tersebut.
“Tanpa disedari oleh plaintif dan pelanggan lain, produk makanan itu bukan kepak ayam tanpa tulang sama sekali, sebaliknya ia hanyalah hirisan daging dada ayam yang digoreng seperti bahagian kepak.
“Sememangnya produk itu lebih mirip dalam komposisi dengan nuget ayam berbanding menu dinyatakan.
“Sekiranya plaintif dan pelanggan lain mendapat tahu produk itu sebenarnya bukan kepak ayam tanpa tulang, sudah tentu mereka tidak akan membeli langsung. Oleh itu, kedua-dua pihak mengalami kerugian akibat tindakan defenden yang menggunakan taktik memperdaya,” jelas pernyataan tuntutan itu.
Aimen kini menuntut ganti rugi, pelepasan injuksi, pembayaran balik, pelepasan pengisytiharan dan tindakan lain yang dianggap wajar oleh mahkamah.
Bagaimanapun, pernyataan tuntutan itu tidak menyatakan jumlah ganti rugi yang dimohon.
Defenden yang dinamakan dalam saman itu termasuk Buffalo Wild Wings dan syarikat induk, Inspire Brands.
Sementara itu, ketika diminta mengulas berhubung perkara itu, wakil bagi dua syarikat itu meminta merujuk ciapan di Twitter pada akaun rasmi Buffalo Wild Wings.
“Memang betul, menu boneless wings diperbuat daripada daging ayam, hamburger kami tidak mempunyai ham manakala `buffalo wings’ pula tidak mengandungi daging kerbau,” jelas ciapan itu.