BADUNG: Pelancong asing di sebuah kawasan percutian di Kuta Selatan membuat petisyen kerana berasa terganggu dengan ayam jantan milik seorang penduduk tempatan yang berkokok terlalu kuat setiap pagi.
Warga Britain dikenali sebagai William yang menghantar petisyen itu kepada pemilik ayam tersebut turut menuduh lelaki berkenaan sebagai pelaku judi sabung ayam yang dilarang di Indonesia.
“Dia bela ayam dan melakukan aktiviti sabung yang haram di Indonesia. Lelaki ini memiliki banyak ayam dan berkokok bermula pukul 3 pagi menyebabkan orang lain tidak boleh tidur.
“Saya tawarkan 500,000 rupiah (RM146) kepadanya untuk memindahkan ayam-ayam itu tetapi dia tetap berdegil tidak mahu menerima wang itu,” kata William.
Lapor Detik.com, pemilik ayam berkenaan, Wayan Agus Juli, 26, bersikap acuh tak acuh menjawab petisyen sebilangan warga asing yang menetap di Homestay Anumana Bay View di Jimbaran itu.
Wayan mengakui keberatan memindahkan ayam jantannya yang dikurung di dalam sangkar buluh itu kerana haiwan berkenaan dilahirkan dan dibesarkan di kawasan tersebut.
“Saya tidak kisah dengan apa yang mereka katakan. Saya tahu datuk dan nenek saya sudah berada di sini sejak zaman Belanda.
“Mereka jumpa saya di rumah. Tetapi apabila mereka bercakap, hanya masuk telinga kanan keluar telinga kiri. Saya tidak faham bahasa Inggeris, jadi saya hanya menjawab yes, no yes no sahaja,” tambah Wayan sambil tertawa.
Wayan berkata, ayam-ayam tersebut untuk dijual dan bapanya sebenarnya sanggup mengalihkan ayam peliharaan itu dari kawasan kejiranan tersebut dengan syarat dia diambil bekerja di homestay itu dengan bayaran gaji minimum.