TOKYO: Roket generasi akan datang milik Jepun, roket H3 dilaporkan gagal pada percubaan kali kedua pelancarannya.
Sehubungan itu, Agensi Angkasa Jepun (JAXA) mengeluarkan arahan untuk musnahkan roket berkenaan selepas memutuskan misi itu tidak berjaya ketika pelepasan.
Kegagalan itu merupakan tamparan hebat kepada JAXA selepas roket tersebut gagal dilancarkan pada percubaan pertama bulan lalu disebabkan dua enjinnya tidak dapat berfungsi.
Pelancaran kali kedua dari Pusat Angkasa Tanegashima di barat daya Jepun pada mulanya nampak berjaya, dengan roket itu berlepas pada pukul 10:37 pagi (waktu tempatan).
Walaupun roket itu berjaya melepasi fasa pemisahan peringkat pertama, namun tidak lama kemudian beberapa tanda masalah muncul.
“Nampaknya halaju semakin menurun,” kata juruhebah JAXA yang bersiaran langsung ketika misi tersebut.
Bagaimanapun, pusat arahan kemudian mengesahkan misi itu gagal dan menghantar mesej untuk musnahkan roket itu.
“Arahan pemusnahan sudah dihantar ke H3 kerana tiada peluang misi itu akan berjaya,” jelas pusat arahan itu.
Setakat ini, tiada penjelasan diberikan mengenai punca pelancaran itu gagal.
Roket H3 dibangunkan untuk pelancaran komersial yang lebih kerap dan dikatakan sebagai pesaing yang mungkin untuk Falcon 9 Space X.
H3 yang dibangunkan oleh Mitsubishi Heavy Industries, merupakan pengganti kepada model H-IIA, yang mula diperkenalkan pada tahun 2001.-AFP