Pelan suaka Britain membimbangkan

Pelan suaka Britain membimbangkan

BRITAIN menggariskan undang-undang baharu melarang pendatang yang tiba di UK melalui laluan laut secara haram daripada menuntut suaka.-AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR) bimbang undang-undang suaka baharu yang dicadangkan kerajaan Britain bagi menyekat secara drastik kemasukan pendatang asing melalui laluan laut akan menindas golongan pencari suaka yang amat memerlukan bantuan.

Wakil UNHCR ke United Kingdom (UK), Vicky Tennant memberitahu BBC, langkah itu malah melanggar undang-undang antarabangsa dan tidak sepatutnya dilakukan untuk menghalang kemasukan pendatang asing melalui Selat Inggeris.

LANGGAR UNDANG-UNDANG ANTARABANGSA

“Kami sangat prihatin. Ini secara berkesan menutup akses kepada suaka di UK untuk mereka yang tiba secara tidak teratur.

“Kami percaya ia adalah pelanggaran yang jelas terhadap Konvensyen Pelarian dan ingat walaupun pendatang itu mempunyai tuntutan yang sangat mendesak, mereka tidak akan mempunyai peluang untuk mengemukakannya,” kata Tennant.

Perdana Menteri Britain, Rishi Sunak berkata, beliau bersedia untuk berjuang membawa undang-undang tersebut dan sanggup mengatasi sebarang cabaran bagi menguatkuasakannya.

Bagaimanapun Parti Buruh berpendapat, rancangan itu berisiko memburukkan keadaan dan mencetuskan huru-hara.

Kelmarin, kerajaan menggariskan undang-undang baharu yang secara berkesan akan melarang sesiapa sahaja yang tiba di UK melalui laluan laut secara haram daripada menuntut suaka.

Sesiapa yang didapati memasuki negara itu secara haram juga akan disekat daripada kembali atau menuntut kewarganegaraan Britain pada masa hadapan.

Langkah itu adalah sebahagian daripada percubaan untuk menangani peningkatan bilangan pendatang asing yang tiba di UK melalui lintasan laut setiap tahun yang meningkat mendadak daripada sekitar 300 orang pada 2018 kepada lebih daripada 45,000 orang tahun lalu.

Konvensyen Pelarian yang pertama kali dipersetujui pada tahun 1951, adalah perjanjian pelbagai hala yang menetapkan individu yang layak sebagai pelarian dan kewajipan negara penandatangan untuk melindungi mereka.

PERLU SISTEM LEBIH BAIK

Tennant berkata, UK mempunyai tradisi kemanusiaan yang telah lama wujud dan isu mengenai penghijrahan pendatang mampu ditangani dengan kawalan yang betul dan sistem yang ditadbir dengan lebih baik.

“Dapatkan sistem suaka yang lebih berfungsi. Dapatkan proses suaka yang adil, cekap dan lebih pantas.

“Jika pendatang tidak berhak mendapat suaka, hantar mereka pulang ke negara mereka tetapi jika mereka layak, benarkan mereka untuk berintegrasi dan meneruskan proses itu dengan lebih cepat,” katannya.

Perkara sama turut disuarakan Ahli Parlimen Konservatif, Richard Graham yang menegaskan dasar kerajaan harus dinilai dan dilaksanakan dengan tekad, belas kasihan dan kesaksamaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya