SEOUL: Kementerian Luar Korea Utara menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) segera menghentikan latihan ketenteraan bersama Amerika Syarikat (AS) dan Korea Selatan.
Lapor AFP, Naib Menterinya, Kim Son Gyong dalam satu kenyataan yang disiarkan oleh Agensi Berita Pusat Korea (KCNA) berkata, latihan daripada kedua-dua negara itu mendorong ketegangan ke tahap yang sangat berbahaya.
“PBB dan masyarakat antarabangsa perlu mendesak Amerika Syarikat (AS) dan Korea Selatan untuk menghentikan segera kenyataan provokasi dan latihan ketenteraan bersama mereka,” katanya.
Kenyataan itu dibuat selepas pegawai dari Seoul dan Washington mengumumkan mengenai lebih 10 hari latihan ketenteraan berskala besar dari 13 hingga 23 Mac ini.
AS dan Korea Selatan berkata, latihan itu adalah defensif tetapi Pyongyang melihatnya sebagai satu latihan untuk pencerobohan.
Kedua-dua negara itu turut mengadakan latihan gabungan udara dengan pengebom jarak jauh AS dan pesawat pejuang Korea Selatan pada Jumaat lalu, yang terbaru dalam siri latihan bersama mereka dalam beberapa minggu kebelakangan ini.
Son Gyong memberi amaran bahawa tndakan itu sebagai tidak bertanggungjawab.
“AS dan Korea Selatan hanya membawa keadaan serantau ke fasa yang sangat kritikal dan tidak terkawal,” ujarnya.
Korea Utara kelmarin menyalahkan Washington atas apa yang disebutnya keruntuhan sistem kawalan senjata antarabangsa dan berkata senjata nuklear Pyongyang adalah cara paling pasti untuk memastikan keseimbangan kuasa di rantau itu.