LONDON: Trio adik beradik Britain yang baru sahaja menyambut hari lahir kedua mereka kini digelar sebagai kembar tiga paling pramatang di dunia oleh Rekod Dunia Guinness.
Michaela White dari Bristol melahirkan anak kembar tiga yang diberi nama Rubi-Rose, Payton-Jane dan Porscha-Mae Hopkins pada usia kandungan 22 minggu dan 5 hari.
Tiga beradik itu dilahirkan 121 hari lebih awal daripada tarikh jangkaan kelahiran mereka.
Adik beradik Hopkins itu dilaporkan menyambut hari lahir kedua mereka pada 14 Februari lalu.
“Seluruh perjalanan sejak mengetahui bahawa mereka adalah kembar tiga dan kemudian benar-benar berada di sini adalah sesuatu yang sangat mencabar dan kehamilan terpantas yang pernah saya ketahui,” kata bapa pasangan kembar itu, Jason Hopkins.
Ketiga-tiga kembar itu menghabiskan masa berbulan-bulan di unit rawatan rapi neonatal sebelum dibenarkan pulang.
Payton-Jane dan Porscha-Mae adalah kembar seiras, manakala Rubi-Rose mempunyai genetik yang unik, menjadikan adik-beradik itu sebagai kembar tiga dizigot.
Menurut Rekod Dunia Guiness dalam satu kenyataan, berat ketiga-tiga bayi itu yang digabungkan semasa lahir berjumlah 2.83 kilogram turut menobatkan mereka rekod kelahiran kembar tiga paling ringan di dunia.-AGENSI