JAKARTA: Puluhan penduduk membanjiri lokasi kejadian kebakaran depoh minyak Pertamina Plumpang untuk mencari ahli keluarga mereka yang masih belum ditemukan berikutan insiden tersebut.
Kebakaran di daerah Koja di Jakarta Utara itu memusnahkan kediaman penduduk dan menyebabkan puluhan lagi maut dan cedera.
Kejadian kebakaran berlaku ketika proses pengisian minyak bahan bakar Pertamax (BBM) dari Balongan ke depoh Plumpang.
Ketua Polis Negara, Jeneral Listyo Sigit Prabowo berkata, terdapat masalah teknikal semasa mengisi bahan api itu sehingga menyebabkan kebakaran besar.
Berdasarkan rekod awal Pertamina, seramai 18 orang meninggal dunia akibat kebakaran tersebut sementara 35 orang yang cedera dikejarkan ke lima hospital berhampiran.
Menurut Listyo, seramai 22 orang terdiri daripada 12 laki-laki dan 10 perempuan dilaporkan masih hilang sejak Sabtu lalu.
“Sebahagian daripada waris sedang mencari saudara mara mereka di lokasi pemindahan. Ada juga yang mencari sendiri di lokasi kebakaran dan hospital.
“Proses pencarian dan pemindahan terus dilakukan oleh pasukan gabungan. Polis malah menghantar anjing pengesan untuk mencari mangsa di bawah runtuhan bangunan,” jelasnya.