Kalimantan gesa penduduk laksana pertanian bandar - Utusan Malaysia

Kalimantan gesa penduduk laksana pertanian bandar

GABENOR Kalimantan Tengah, Sugianto Sabran (dua dari kanan) dan kakitangannya menuai cili di bandar raya Palangka Raya baru-baru ini.-AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KALIMANTAN: Kerajaan wilayah Kalimantan Tengah menggesa penduduk melaksanakan pertanian bandar dengan memanfaatkan tanah yang ada di pekarangan atau sekitar kawasan kediaman mereka.

Ketua Pejabat Keselamatan Makanan Kalimantan Tengah, Riza Rahmadi berkata, langkah itu perlu bagi mengawal inflasi di wilayah berkenaan. 

“Konsep pertanian bandar dengan menanam pelbagai komoditi strategik seperti cili diyakini mampu menyokong kawalan inflasi,” jelasnya selepas menghadiri mesyuarat penyelarasan kawalan inflasi secara maya bersama Menteri Dalam Negeri.

Menurutnya, konsep pertanian bandar dapat membantu masyarakat dan kerajaan wilayah merealisasikan sara diri makanan yang turut memberi kesan kepada kestabilan harga beberapa komoditi makanan strategik di pasaran.

Antara komoditi yang mengundang kebimbangan ketika ini ialah cili api khususnya di daerah Murung Raya.

“Berdasarkan data, stok cili api di Murung Raya mencecah 3.5 tan, namun keperluannya mencecah lebih 3.3 tan. Lebihan hanya sekitar 0.1 tan.

“Oleh itu, kerajaan tempatan dan masyarakat diminta untuk merancakkan pelaksanaan pertanian bandar dengan seberapa segera,” jelasnya.

Riza berkata, pihaknya juga dalam perancangan menjalankan operasi pasaran dan menyediakan pelbagai komoditi makanan termasuk cili api khususnya di kawasan Murung Raya.

“Kami sedang berusaha untuk melakukan secara maksimum langkah-langkah pencegahan dan kawalan bagi mengekalkan kestabilan harga makanan di pasaran, lebih-lebih lagi kita sudah memasuki bulan Ramadan,” katanya dipetik Antara News.

Ketika ini, inflasi Kalimantan Tengah terkawal dan wilayah itu berada di kedudukan ke-16 secara nasional dari segi nilai gabungan inflasi di bandar-bandar sebanyak 5.81 peratus.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya