BAITULMUQADDIS: Israel baru-baru ini melancarkan satelit pengintip baharu yang memiliki keupayaan sistem pengimejan paling canggih.
Menurut Kementerian Pertahanan Israel, satelit pengintipan Ofek-13 dilancarkan ke orbit pada pukul 2.10 pagi (waktu tempatan) dari sebuah tapak pelancaran yang terletak di tengah Israel.
Jelas kementerian, satelit itu yang dibawa oleh kenderaan pelancar Shavit, berlepas melintasi Laut Mediterranean.
“Pelancaran itu merupakan pencapaian luar biasa dan membuktikan langit tidak menjadi had bagi sektor pertahanan Israel.
“Kami akan terus meningkatkan keupayaannya dalam setiap dimensi ketika menghadapi cabaran,” jelas kementerian dalam kenyataan.
Tambah kementerian, sebaik sahaja satelit itu memasuki orbit, ia akan menghantar data kepada pusat kawalan.
Jelasnya, selepas satelit itu beroperasi sepenuhnya, ia akan dihantar ke Unit Perisikan 9900 Pasukan Pertahanan Israel untuk kegunaan operasi.
Sementara itu, kementerian memaklumkan satelit baharu itu dibangunkan oleh Industri Aeroangkasa Israel (IAI).
“Ofek-13 merupakan satelit paling canggih seumpamanya dengan memiliki keupayaan pemantauan radar yang unik.
“Ia juga membolehkan pengumpulan data risikan dalam apa jua cuaca dan situasi,” kata Ketua IAI, Boaz Levy dalam kenyataan sama. – AFP/AGENSI