LONDON: Kajian terbaharu mendapati menghidu bau badan orang lain mampu membantu merawat masalah keresahan atau anxiety sosial.
Peluh ketiak diambil daripada sukarelawan yang menonton klip filem sama ada gembira atau menakutkan termasuk Mr Bean’s Holiday, Sister Act dan The Grudge.
Sampel kemudian digunakan bersama terapi kesedaran yang lebih tradisional untuk merawat anxiety sosial.
Lapor Sky News, kajian itu mendedahkan, kesedaran adalah lebih berkesan apabila digabungkan dengan menghidu bau badan.
Kajian itu melibatkan 48 wanita yang mengalami masalah tersebut, sebahagian daripada mereka terdedah kepada udara bersih dan yang lain kepada bau badan.
Pesakit yang menyelesaikan sesi kesedaran semasa terdedah kepada bau badan menyaksikan pengurangan 39 peratus keresahan mereka manakala tanpa bau badan pula hanya mencatat pengurangan 17 peratus dalam skor kebimbangan.
Para penyelidik percaya ada sesuatu tentang peluh manusia yang mempengaruhi tindak balas terhadap rawatan namun lebih banyak kajian diperlukan untuk mengesahkan kaitan itu.
Ketua penyelidik dari Institut Karolinska di Sweden, Elisa Vigna berkata, pasukannya agak terkejut dan teruja dengan penemuan terbaharu itu.
“Mungkin dengan hanya terdedah kepada kehadiran orang lain akan memberi kesan seperti ini, tetapi kami perlu mengesahkannya,” katanya.
Keresahan atau anxiety sosial ialah keadaan kesihatan mental di mana mereka yang menghidapinya akan merasa bimbang secara berlebihan tentang situasi sosial.
Menurut laman web Perkhidmatan Kesitan Negara (NHS), pada masa ini terdapat beberapa rawatan yang tersedia untuk keadaan tersebut, termasuk terapi tingkah laku kognitif, bantuan diri berpandu dan ubat antidepresi.