YOGYAKARTA: Gunung Merapi di Indonesia yang merupakan salah satu gunung berapi paling aktif di dunia, meletus dengan memuntahkan abu sehingga tujuh kilometer (km).
Menurut agensi pengurusan bencana, tiada laporan segera mengenai kerosakan atau kemalangan jiwa setakat ini.
Beberapa gambar yang disiarkan di saluran tempatan, Kompas TV menunjukkan rumah penduduk dan jalan yang dilitupi abu di perkampungan berdekatan kawasan gunung berapi di Pulau Jawa, berhampiran wilayah Yogyakarta di Indonesia.
Balai Cerap Gunung Berapi Merapi menganggarkan abu itu mencapai 3,000 meter di atas puncak gunung.
Pihak berkuasa menubuhkan zon larangan kira-kira tujuh kilometer (km) dari kawah selepas letusan direkodkan pada pukul 12.12 tengah hari (waktu tempatan).
Jurucakap agensi pengurusan bencana, Abdul Muhari berkata, penduduk yang tinggal di kawasan itu dinasihatkan untuk menghentikan sebarang aktiviti di kawasan berpotensi bahaya.
Katanya, penduduk tinggal berhampiran juga dijangka mengalami gangguan akibat abu dan diminta berwaspada mengenai aliran lahar panas yang berpotensi terutamanya sekiranya hujan berlaku sekitar kawasan gunung berapi.
Sementara itu, pegawai di salah sebuah pos pemerhatian Merapi berkata, sekurang-kurangnya lapan kampung berhampiran gunung berapi terjejas akibat abu. – AFP/REUTERS