WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) mengumumkan pakej bantuan ketenteraan baharu kepada Ukraine bernilai AS$400 juta (RM1.79 bilion) yang tertumpu pada bekalan amunisi.
Pakej bantuan itu buat pertama kali akan turut merangkumi jambatan taktikal bagi memudahkan pergerakan dan pemindahan kereta kebal dan kenderaan berperisai.
Jambatan itu boleh digunakan oleh pasukan tentera Ukraine yang dilatih dalam perang `gerakan senjata gabungan’ ketika serangan menggunakan kereta kebal dan senjata perisai untuk menawan semula wilayah dirampas oleh Russia sejak insiden pencerobohan setahun lalu.
Bekalan amunisi tambahan itu dihantar untuk membantu meningkatkan stok, dengan mengambil kira kemungkinan serangan baharu pada musim bunga.
“Pakej bantuan ketenteraan ini mengandungi lebih banyak amunisi untuk Himar dan artileri howitzer yang digunakan oleh Ukraine secara berkesan ketika mempertahankan negara mereka.
“Ia juga merangkumi amunisi bagi Kenderaan Tempur Infantri Bradley, Jambatan Kenderaan Berperisai, aset dan kelengkapan pemusnah serta penyelenggaraan, latihan dan sokongan,” kata Setiausaha Negara AS, Antony Blinken.
Dalam pada itu, Felo Penyelidik Kanan bagi perang saraf di Institut Pertahanan dan Keselamatan Britain (RUSI), Jack Watling berkata, jambatan taktikal itu adalah penting untuk operasi gabungan senjata.
“Ia membolehkan kenderaan berperisai menyeberangi sungai dan parit sempit yang dilihat berisiko untuk memperlahankan pergerakan pasukan tentera.
“Malah, apa yang penting adalah jambatan taktikal itu kritikal bagi operasi serangan, selain turut menunjukkan AS mempersiapkan Ukraine untuk terus merampas kembali wilayah,” katanya.
Januari lalu, Jerman bersetuju untuk menghantar kereta kebal Leopard ke Ukraine dan memberi jaminan akan bekerjasama dengan sekutunya untuk menghantar lebih banyak bekalan senjata ke negara itu.
Bantuan Jerman ke Ukraine dijangka menjadi topik utama ketika pertemuan antara Presiden AS, Joe Biden dan Canselor Jerman, Olaf Scholz di White House
Malah, beberapa sekutu Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) juga berikrar untuk menghantar pelbagai jenis kenderaan berperisai.
Sementara itu, agensi berita TASS melaporkan, Duta Russia ke Washington, Anatoly Antonov berkata, tindakan AS untuk mengalahkan Moscow secara strategik dalam perang dengan Ukraine hanya menjadi sia-sia. – REUTERS