AS ada agenda di Laut China Selatan

AS ada agenda di Laut China Selatan

KAPAL USS Ronald Reagan dan USS Nimitz Carrier Strike bergerak dalam kumpulan di Laut China Selatan pada 6 Julai lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIJING: Sebuah badan pemikir Beijing berpendapat Amerika Syarikat (AS) jelas mempergiatkan operasi ketenteraan di Laut China Selatan pada tahun lalu untuk mempromosikan agenda politik dan diplomatiknya.

Lapor South China Morning Post, Inisiatif Penyelidikan Situasi Strategik Laut China Selatan (SCSPI) iaitu sebuah badan pemikir pertahanan yang berpangkalan di Beijing meramalkan pasukan AS yang turut menyasarkan Selat Taiwan, dilihat semakin menjadi pembolehubah yang menjejaskan kestabilan di kawasan itu.

Badan itu turut menerbitkan laporan tahunan yang memantau kehadiran tentera AS di Laut China Selatan dan perairan lain berhampiran China.

China turut memberi amaran kepada Australia, United Kingdom dan Amerika Syarikat (AUKUS) supaya tidak melalui ‘jalan berbahaya’ berhubung pakatan kapal selam berkuasa nuklear mereka.

Menurut statistik SCSPI, terdapat kira-kira 1,000 kumpulan pesawat peninjau AS yang besar ke rantau Laut China Selatan.

Mereka melintasi pada jarak 13 batu nautika dari garis dasar perairan wilayah tanah besar China.

Sebanyak lapan penyertaan oleh kumpulan penyerang kapal induk AS serta kumpulan berjaga-jaga amfibia dan sekurang-kurangnya 12 kapal selam sera­ngan berkuasa nuklear.

SCSPI menjelaskan, bilangan penyertaan kumpulan penye­rang kapal induk menurun berbanding tahun sebelumnya tetapi mereka tinggal di kawasan itu lebih lama, meningkat daripada empat hingga enam hari setiap lawatan pada 2021 kepada lebih daripada 10 hari setiap lawatan tahun lepas.

“Kekerapan dan intensiti aktiviti ketenteraan AS di Laut China Selatan semakin meningkat dan tindakan itu menjadi lebih berani dan lebih agresif dengan tahap keterujaan yang melebihi pada zaman pentadbiran Donald Trump,” kata badan itu.

Menurut laporan itu, tentera AS di Laut China Selatan me­ningkat dengan ketara pergantu­ngan mereka kepada pangkalan udara dan laut tentera Filipina.

“Pangkalan hadapan AS di Fili­pina akan memainkan pera­nan yang lebih penting dalam operasi ketenteraan masa depan terhadap Selat Taiwan dan Laut China Selatan,” tambahnya.

Tindakan ketenteraan di rantau ini lebih sejajar dengan agenda politik Washington terhadap China dalam pelbagai bidang, kata laporan itu.

AS dilaporkan menjalankan operasi pelayaran bebas seba­nyak empat kali di Laut China Selatan tahun lalu.

Walaupun penurunan ketara dalam jumlah berbanding 2021, kebanyakan terlibat secara langsung dalam agenda politik dan diplomatik negara, menurut laporan itu.

AS kerap menjalankan apa yang dipanggil kebebasan operasi navigasi di Indo-Pasifik untuk menegaskan bahawa laluan air adalah laluan laut antarabangsa, bagaimanapun Beijing mengecam operasi ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya