Wanita dikecam pakai gaun pengantin merah jambu - Utusan Malaysia

Wanita dikecam pakai gaun pengantin merah jambu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SYDNEY: Seorang wanita Australia terkejut menerima kecaman teruk  warga net selepas videonya memakai gaun pengantin berwarna merah jambu pada majlis perkahwinannya beberapa bulan lalu tular di media sosial baru-baru ini.

Lapor Mirror UK, Camille Lescai, yang merupakan peminat tegar warna merah jambu, jatuh cinta dengan busana pengantin daripada seorang pereka dan memilih mengenakan gaun unik itu untuk dipadankan dengan personalitinya yang ceria.

Walaupun memahami ramai yang mahu mengikut tradisi mengenakan gaun putih, Lescai memilih untuk lebih menonjol di hadapan tetamu dengan gaun ropol merah jambu pilihannya yang dijual di laman Instagram pada harga 6,500 dolar Australia (RM19,159).

Lescai yang begitu gembira meraikan hari bahagianya November tahun lalu, memuat naik videonya memakai gaun itu di laman TikTok untuk tontonan pengikutnya yang ketika itu hanya berjumlah 300 orang. 

Namun dia menyedari video itu tular dan kini telah dilihat oleh lebih 4.8 juta orang.

Dalam video itu, Lescai dilihat teruja menunjukkan penampilannya sebagai pengantin perempuan kepada pengiring dan ibunya selepas siap disolek tetapi mereka kelihatan terkejut dengan warna gaun tersebut.

“Selepas menyiarkan video itu dalam talian, saya menyedari ia telah menjadi tular atas semua sebab yang salah, dengan beberapa orang mengatakan pakaian itu hodoh, pelik dan ada yang menggelarnya sampah. Saya agak terkejut dan bingung dengan komen tersebut kerana tidak menyangka gaun itu boleh tular.

“Saya tidak mahu membiarkan komen ini mengganggu saya, kerana saya sukakan pakaian saya dan tidak mahu pengalaman pahit ini mengubah persepsi saya mengenainya,” jelasnya.

Lescai yang bergelut dengan masalah keyakinan diri ketika usia remaja bertindak membalas komen-komen negatif tersebut selepas ramai wanita di bahagian komen memberi sokongan dan memberitahu mereka turut mempunyai pakaian seperti itu.

“Ramai mungkin berfikir saya harus bersedia menerima komen negatif selepas menyiarkan apa-apa dalam talian, tetapi hujah sebaliknya ialah, jika anda membuat komen jahat dalam talian, anda harus bersedia untuk dipertanggungjawabkan dan tidak bersembunyi di sebalik bayang-bayang sendiri,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya