Turkiye bertegas tidak benarkan Sweden sertai NATO

Turkiye bertegas tidak benarkan Sweden sertai NATO

RECEP TAYYIP ERDOGAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ANKARA: Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan sekali lagi menegaskan bahawa pihaknya tidak akan membenarkan Sweden menyertai pakatan tentera Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) selagi ia membenarkan bantahan yang mencemarkan kitab suci al-Quran.

Turkiye yang selama ini menangguhkan kelulusan keanggotaan Sweden dan Finland ke dalam pakatan tentera Barat itu berang susulan siri bantahan di Stockholm oleh aktivis yang membakar al-Quran di luar kedutaan negara berkenaan dan menggantung patung berupa Erdogan.

Ia juga telah menangguhkan satu mesyuarat penting di Brussels yang sepatutnya membincangkan mengenai kemasukan kedua-dua negara Nordic itu ke dalam NATO.

“Sweden, jangan harap! Selagi anda membenarkan kitab suci al-Quran untuk dibakar dan dikoyakkan, dan anda melakukannya bersama pasukan keselamatan anda, kami tidak akan katakan ‘ya’ kepada kemasukan anda ke dalam NATO,” tegas Erdogan dalam satu ucapan kepada penggubal undang-undang parti pemerintahannya

Pegawai pemerintah Sweden menjauhkan diri daripada bantahan itu, yang dicetuskan oleh seorang aktivis anti-Islam berhaluan kanan yang membakar beberapa naskhah al-Quran di Stockholm dan Copenhagen, Denmark, menegaskan bahawa bantahan itu dilindungi oleh kebebasan bersuara.

Sweden dan negara jiran Finland telah meninggalkan berdekad ketidakselarasan dan memohon untuk menyertai NATO berikutan pencerobohan Russia ke atas Ukraine.

Semalam, Menteri Luar Turkiye, Mevlut Cavusoglu berkata Ankara mempunyai lebih sedikit masalah dengan Finland menjadi anggota NATO berbanding jirannya Sweden.

Bagaimanapun, beliau menegaskan terpulang kepada pakatan tentera untuk memutuskan sama ada menerima satu negara sahaja atau kedua-dua negara Nordic itu bersama-sama – sesuatu yang kedua-dua negara komited.

Sekiranya NATO memutuskan untuk menangani proses keahlian negara jiran Nordic secara berasingan, “(Turkiye) sudah tentu akan mempertimbangkan semula (mengesahkan) keahlian Finland secara berasingan dan lebih baik, saya boleh katakan,” kata Cavusoglu semasa sidang akhbar bersama dengan rakan sejawatnya dari Estonia di Tallinn.

Beliau tidak memberikan jangka masa.

Erdogan juga mengulangi bahawa pandangan Turkiye mengenai keahlian Finland adalah ‘positif’.

“Tetapi ia tidak positif mengenai Sweden, itu harus diketahui,” kata Erdogan. -AP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya