ISTANBUL: Lebih 100 maut dan kira-kira 500 cedera dalam gempa bumi besar berukuran 7.8 magnitud yang melanda tenggara Turkiye hari ini yang turut meranapkan puluhan bangunan.
Turut terkesan daripada gempa bumi terburuk dalam sejarah itu adalah negara jiran, Syria.
Kata pegawai tempatan, jumlah korban turut meningkat kerana banyak bangunan musnah.
Menurut Geologi Amerika Syarikat (AS), gempa bumi itu berlaku pada pukul 4:17 pagi waktu tempatan pada kedalaman kira-kira 17.9 kilometer dengan gempa susulan 6.7 magnitud berlaku 15 minit kemudian.
Pusat perkhidmatan kecemasan Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana dan Kecemasan Turkiye (AFAD) Turki meletakkan magnitud gempa pertama pada 7.4.
Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan dalam ciapan Twitter turut menyampaikan ucapan takziah kepada semua rakyat yang terjejas akibat gempa bumi berkenaan.
“Kita berharap agar dapat melalui bencana ini bersama-sama secepat mungkin dan dengan kerosakan yang paling sedikit,” katanya. -AGENSI