ISTANBUL: Datuk Bandar Istanbul, Ekrum Imamoglu menjangkakan kira-kira 90,000 bangunan di bandar terbesar Turkiye itu berisiko ranap jika gempa bumi kuat melanda pada bila-bila masa.
Amaran itu dibuat ketika jumlah kematian akibat gempa bumi pada 9 Februari lalu di tenggara Turkiye dan utara Syria kini melebihi 41,000 orang.
Imamoglu berkata, anggaran semasa bangunan berisiko runtuh dalam gempa bumi di Turkiye adalah hampir dua kali lebih besar.
Jelasnya, kebimbangan itu muncul selepas lebih 10,000 bangunan runtuh di Turkiye berikutan gempa bumi kuat pada 7.8 dan 7.5 magnitud manakala pasukan penyelamat dilaporkan terus berusaha mencari mangsa yang masih hidup.
“Kami perlu bergerak sangat pantas untuk menambah baik struktur bangunan dan ia perlu selaras dengan kod pembinaan Turkiye untuk membina bangunan di kawasan yang terdedah kepada gempa bumi,” kata Imamoglu.
Beliau menambah, kira-kira 317,000 struktur bangunan di Istanbul diberikan kelulusan mengikut kod pembinaan yang ditetapkan.