TANJUNGPINANG: Kerajaan wilayah Kepulauan Riau menyasarkan untuk menarik 1.2 juta pelancong antarabangsa tahun ini selaras dengan keadaan pasca pandemik yang semakin pulih.
Gabenor Kepulauan Riau, Ansar Ahmad menyuarakan keyakinannya bahawa sasaran itu mampu dicapai kerana pada tahun lalu, ketibaan pelancong antarabangsa di kepulauan ini mencecah 700 ribu, meningkat drastik daripada hanya 3,103 pada tahun 2021.
“Sebelum pandemik, ketibaan pelancong antarabangsa tahunan berjumlah sekitar 2.5 juta. Namun, kita perlu realistik sekarang memandangkan industri pelancongan baharu saja pulih,” katanya kepada Antara.
Menurut beliau, pelancongan di wilayah itu merosot akibat kesan pandemik namun pada pertengahan 2022, keadaan mula pulih selepas kerajaan pusat membuka semula sempadan negara kepada pelancong antarabangsa termasuk pembatalan sekatan aktiviti awam (PPKM) pada akhir tahun lalu.
Bagaimanapun beliau akan mempergiat usaha mencari penyelesaian bagi menangani masalah yang boleh menghalang kedatangan pelancong antarabangsa ke pulau itu.
“Pintu masuk utama ke Kepulauan Riau untuk pelancong antarabangsa sedia menyambut mereka seperti Tanjungpinang, Batam, Bintan, dan Karimun. Salah satu usaha yang akan dilakukan ialah mencadangkan peningkatan status Lapangan Terbang Raja Haji Fisabilillah (RHF) Tanjungpinang kepada lapangan terbang berskala antarabangsa.
“Dengan cara itu, akses penerbangan merentas desa dapat direalisasikan memandangkan tahun ini seramai 400 ribu pelancong antarabangsa dari China disasarkan mengunjungi Lagoi di Daerah Bintan,” jelasnya.
Dalam pada itu, Ketua Pembangunan dan Pemasaran Pejabat Pelancongan Kepulauan Riau, Afitri Susanti berkata, pihaknya telah menyediakan kalendar pelancongan bagi meningkatkan jumlah ketibaan pelancong antarabangsa tahun ini.
Jelas beliau, kalendar pelancongan tahun ini masih bergantung kepada kearifan tempatan seperti alam semula jadi, budaya, sukan, dan pelancongan maritim.
Selain itu, acara berskala antarabangsa juga akan diadakan di wilayah itu, salah satunya pertandingan berbasikal Tour de Bintan yang disertai ratusan atlet dari 33 negara.
Afitri berkata, pihaknya sedang giat bekerjasama dengan persatuan dan pelancong tempatan serta antarabangsa untuk mempromosikan pelancongan di Kepulauan Riau.
“Kami optimis pelancongan Kepulauan Riau akan pulih tahun ini,” katanya.