JAKARTA: Kerajaan Indonesia melancarkan program Penyegeraan Syariah Kewangan 2023 bagi Sektor Pelancongan dan Ekonomi Kreatif (AKSES) untuk menyediakan akses kewangan yang mudah kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Lapor portal Antara, program AKSES itu dirasmikan oleh Kementerian Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, baru-baru ini.
Menteri Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Sandiaga Uno berkata, pihaknya juga bekerjasama dengan syarikat swasta sekuriti syariah pendanaan awam untuk melaksanakan program AKSES.
“Perkhidmatan sekuriti pendanaan awam ini menyediakan pilihan pembiayaan dengan nilai tambahan yang tinggi,” katanya dalam satu kenyataan.
Jelas beliau, konsep pelaksanaan SCF adalah berasaskan komuniti dan ia mampu menjana keuntungan yang boleh dikongsi secara bersama.
Beliau juga menjangkakan program AKSES itu akan meningkatkan pembiayaan untuk PMKS serta menambah pendapatan golongan berkenaan agar lebih berdaya maju.
Sementara itu, Timbalan Jabatan Industri dan Pelaburan di kementerian tersebut, Rizki Handayani berkata, sektor PMKS berupaya menyokong pertumbuhan dan ketahanan ekonomi negara.
Bagaimanapun, beliau mengakui golongan PMKS sering menghadapi kesukaran untuk mendapatkan akses kewangan.
“Program AKSES ini akan dilaksanakan dengan kerjasama Suruhanjaya Perniagaan Syariah (LBS) Urun Dana.
“Oleh itu, LBS Urun Dana akan menilai golongan PMKS dari proses bimbingan sehingga mereka bertemu dengan pelabur berpotensi,” katanya.