BANTEN: Pasukan polis Tangerang Selatan berjaya menumpaskan kegiatan pelacuran yang berselindung di sebalik sebuah kedai pakaian wanita di Jalan Swadaya di Serpong Utara kelmarin.
Menurut Kompas.com, polis melakukan serbuan selepas menerima aduan penduduk setempat yang curiga melihat kedai pakaian tersebut kerap dikunjungi lelaki berbanding wanita.
Hasil siasatan mendapati kedai pakaian itu mempunyai 24 bilik untuk perniagaan seks serta sejumlah pekerja seks komersial.
Perkara tersebut disahkan oleh Setiausaha Unit Perkhidmatan Awam Kota Tangsel, Sapta Mulyana yang dipetik melalui akaun Instagram @wargatangsel.
“Di tingkat bawah kawasan rumah kedai Ruko Mulia terdapat premis menjual pakaian dan perhiasan wanita dan terdapat sebuah salon rambut di dalamnya.
“Ketika membuat pemeriksaan di tingkat dua rumah kedai itu, kami dapati ada bilik-bilik kecil yang dikatakan pemilik kedai sebagai lokasi terapi urutan.
“Tetapi kami menemukan beberapa pasangan lelaki hidung belang yang sedang melanggan pelacur di dalamnya,” jelasnya.
Sapta berkata, seramai 10 lelaki dan enam wanita ditahan dalam serbuan itu dan akan diserahkan kepada Pejabat Perkhidmatan Sosial untuk tindakan lanjut.