ROME: Runtuhan kota purba Baiae berhampiran bandar moden Bacoli di Itali dilaporkan terkenal dengan sejenis pokok unik yang jarang ditemui.
Ia berikutan terdapat sebatang pokok ara yang tumbuh dalam keadaan terbalik.
Lapor Oddity Central, pokok ara itu tumbuh di bahagian siling pintu gerbang era pemerintahan Rom dalam keadaan terbalik.
“Pokok ara itu kelihatan terbalik, tumbuh ke arah tanah. Sememangnya ia agak jarang berlaku.
“Tiada sesiapa tahu mengenai kemunculan pokok ara itu mahupun berapa lama sudah tumbuh di sana.
“Namun, apa yang pasti adalah di sebalik lokasi peliknya, pokok ara itu tumbuh kuat setiap tahun malah kadang kala berbuah,” jelas laporan tersebut.
Pokok ara atau dikenali nama saintifik Ficus Carica, merupakan tumbuhan pertama yang ditanam oleh manusia, dengan fosil spesies itu ditemukan di Lembah Jordan sejak 9400 Sebelum Masihi.
Baiae kini merupakan taman arkeologi yang menarik pelancong dari seluruh dunia.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, pokok ara terbalik itu menjadi antara tarikan terbesar di kawasan tersebut.