ALEPPO: Sebuah pesawat Arab Saudi yang membawa barang bantuan ke Syria mendarat buat pertama kali sejak lebih sedekad di bandar Aleppo.
Riyadh dikatakan menjanjikan bantuan kepada kawasan-kawasan dilanda gempa bumi yang dikuasai pemberontak dan kerajaan di negara itu.
Pegawai Kementerian Pengangkutan Syria memberitahu AFP, ini merupakan pendaratan pertama Arab Saudi dalam wilayah Syria sejak lebih sedekad negara itu berantakan dalam peperangan.
Pesawat bantuan asing juga dilaporkan mendarat di Syria sejak gempa bumi berukuran 7.8 dan 7.5 magnitud melanda negara yang dilanda perang itu dan negara jiran, Turkiye yang mengorbankan lebih 37,000 orang.
“Ini adalah pesawat pertama dari Arab Saudi mendarat di wilayah Syria dalam tempoh lebih 10 tahun,” kata pegawai kerajaan Syria yang tidak mahu namanya disiarkan.
Pesawat Arab Saudi mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Aleppo dengan membawa 35 tan bantuan makanan, kata agensi berita Syria, SANA.
Penerbangan terakhir seumpama itu yang mendarat di Syria adalah pada Februari 2012.
Selepas lebih sedekad perang, kerajaan Presiden Syria, Bashar al-Assad dikatakan kekal mengikut telunjuk Barat sehingga merumitkan usaha antarabangsa untuk membantu mereka yang terjejas gempa bumi.
Liga Arab turut menggantung Syria pada 2011 dan beberapa negara Arab lain termasuk Arab Saudi memutuskan hubungan dengannya.
Arab Saudi memutuskan hubungan dengan kerajaan Presiden Syria, Bashar al-Assad pada 2012 dan menyokong pemberontak pada peringkat awal perang yang kini hampir tahun ke-12.-AFP