HONG KONG: Perbicaraan kes mengancam keselamatan negara melibatkan lebih 47 bekas pengamal undang-undang pro-demokrasi, aktivis dan sarjana undang-undang bermula di Hong Kong setelah lebih dua tahun mereka ditangkap dalam serbuan polis di seluruh wilayah itu.
Lapor Al Jazeera, defendan-defendan dituduh bersikap subversif kerana mengadakan pemilihan tidak rasmi bagi memilih calon Pilihan Raya Majlis Perundangan 2020 yang kemudian ditangguhkan kerajaan kerana wabak koronavirus melanda.
Sewaktu perbicaraan berlangsung, terdapat kehadiran polis yang ramai termasuk pegawai diiringi dengan anjing di luar bangunan Mahkamah Majistret Kowloon Barat.
Beberapa orang awam juga dilihat beratur semalaman untuk mendapatkan tempat duduk di galeri awam dengan barisan didapati mengelilingi bangunan mahkamah menjelang pagi tadi.
Richard Kimber dari Al Jazeera melaporkan dari Hong Kong berkata, sudah tentu wujud rasa simpati terhadap orang yang menghadapi perbicaraan hari ini.
“Sudah tentu juga terdapat banyak kekecewaan kerana ia mengambil masa yang lama untuk sampai ke tahap ini dan mereka yang ditahan tidak dapat bersuara sejak mereka ditangkap,” katanya.
Mereka yang didakwa termasuk aktivis terkemuka Leung Kwok-hung, dikenali sebagai ‘rambut panjang’ dan Gordon Ng Ching-hang yang berdepan kemungkinan dipenjara seumur hidup kerana menjadi salah seorang daripada lima orang yang dituduh sebagai penganjur utama.
Mereka yang mengaku bersalah termasuk aktivis terkenal di peringkat antarabangsa seperti Joshua Wong dan Claudia Mo, bekas wartawan yang bertukar menjadi penggubal undang-undang.
Bersama-sama mereka, 47 tertuduh yang menyumbang sebahagian besar daripada baki kepimpinan pro-demokrasi Hong Kong selepas protes besar-besaran bagi menyeru reformasi politik pada 2019.
Perbicaraan itu dijangka dijalankan selama 90 hari.
Hukuman ke atas semua defendan akan diputuskan selepas perbicaraan selesai.
Di bawah undang-undang keselamatan yang berkuat kuasa pada 30 Jun 2020, defendan akan berdepan hukuman penjara sehingga tiga tahun kerana konspirasi melakukan aktiviti subversif, penjara antara tiga hingga 10 tahun kerana penyertaan aktif dalam konspirasi itu dan antara 10 tahun dan penjara seumur hidup jika mereka dianggap pesalah utama.