LONDON: Seorang pakar objek terbang tidak dikenali (UFO) terkemuka Britain menyifatkan insiden di Amerika Utara baru-baru ini sebagai satu berita baik untuk pemburu makhluk asing.
Lapor Mirror UK, Nick Pope mengendalikan Projek UFO Kerajaan Britain dan merupakan salah seorang pakar terkemuka dunia mengenai aktiviti makhluk asing.
Jelas Pope, terdapat kegagalan perisikan mengenai penampakan baru-baru ini di seluruh Amerika Syarikat (AS) tetapi perkara itu menjadi berita yang menggembirakan bagi peminat makhluk luar angkasa.
“Pemburu makhluk asing tidak seharusnya kecewa kerana ini adalah masa yang menggembirakan bagi mereka yang mempercayai tentang kewujudannya.
“Saya pasti histeria belon pengintip China kini telah bertukar menjadi histeria UFO,” katanya.
Sejak 10 hari lalu, empat objek misteri yang dikesan di Alaska, Michigan dan Kanada telah ditembak jatuh oleh tentera AS dan kemudian muncul berita Pentagon mengumumkan mereka sedang menyiasat 171 penampakan UFO yang tidak dapat dijelaskan.
Pemimpin kanan tentera berkata, usaha kerajaan untuk mendokumentasikan objek misteri itu membawa kepada ratusan insiden baharu yang sedang diteliti.
Pope berkata, keterujaan mengenai makhluk asing dan UFO tercetus daripada kenyataan Jeneral Tentera Udara AS, Glen D. VenHerk yang tidak menolak sebarang kemungkinan ketika menjawab soalan mengenai hipotesis luar angkasa dalam sidang akhbar mengenai isu itu awal minggu ini.
“Apabila disiasat tentang penglibatan makhluk asing atau makhluk luar angkasa, VenHerk memberitahu akan membiarkan komuniti intel dan komuniti perisikan memikirkannya, malah beliau tidak menolak apa-apa kemungkinan.
“Jawapan itulah yang menjadi punca keterujaan ini,” katanya.