Gempa bumi: 20 banduan lolos dari penjara di Syria

Gempa bumi: 20 banduan lolos dari penjara di Syria

GEMPA bumi merosakkan bangunan di seluruh Syria.-AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AZAZ: Seramai 20 banduan yang memberontak di barat laut Syria dilaporkan meloloskan diri dari penjara yang musnah berikutan dua gempa bumi kuat berukuran 7.8 dan 7.5 magnitud melanda tenggara Turkiye sempadan Syria, semalam.

Menurut sumber, penjara polis tentera di bandar Rajo yang berhampiran sempadan Turki menahan kira-kira 2,000 banduan dengan kira-kira 1,300 daripada mereka disyaki pejuang negara Islam (IS).

Penjara itu juga dikatakan menahan pejuang dari pasukan Kurdish.

“Selepas gempa bumi melanda, penjara di Rajo terjejas dan banduan mula memberontak dan mengawal bahagian penjara.

“Kira-kira 20 banduan melarikan diri… yang dipercayai militan IS,” kata pegawai di penjara Rajo yang dikawal oleh puak pro-Turki.

Tambah sumber, dua gempa bumi kuat berukuran 7.8 dan 7.5 magnitud yang diikuti oleh berpuluh-puluh gegaran susulan menyebabkan kerosakan pada penjara dengan dinding dan pintu retak.

Pemantau perang, Syrian Observatory for Human Rights yang berpangkalan di Britain berkata, pihaknya tidak dapat mengesahkan sama ada banduan berkenaan melarikan diri, tetapi mengesahkan terdapat pemberontakan.

Sekurang-kurangnya 1,444 orang maut semalam di seluruh Syria selepas gempa bumi dahsyat yang berpusat di barat daya Turki, kata kerajaan dan penyelamat.

Di bahagian yang dikuasai pemberontak di barat laut negara itu, sekurang-kurangnya 733 orang terbunuh dan lebih 2,100 cedera, menurut kumpulan penyelamat White Helmets.

Pemberontakan di Rajo berlaku susulan serangan IS pada Disember tahun lalu ke atas kompleks keselamatan di bekas ibu kota de facto Syria mereka, Raqa, yang bertujuan membebaskan rakan jihad dari penjara di sana.

Enam anggota pasukan keselamatan diketuai Kurdish yang mengawal kawasan itu terbunuh dalam serangan yang akhirnya digagalkan itu.

Konflik di Syria bermula pada 2011 apabila berlaku penindasan kejam terhadap rakyat yang melakukan protes aman dan untuk menarik kuasa asing serta pejuang jihad global.

Hampir setengah juta orang terbunuh dan konflik itu memaksa kira-kira separuh daripada penduduk meninggalkan rumah mereka dengan ramai yang mencari perlindungan di Turki.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya