LOS ANGELES: Seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun dari Chicago memahat namanya dalam Rekod Dunia Guinness selepas berjaya melantun bola keranjang paling lama dengan matanya tertutup.
Lapor portal UPI.Com, Henry Speedwell menghabiskan cabaran melantun bola keranjang itu dalam masa sejam, 20 minit dan satu saat.
Henry melakukan aksi itu dengan matanya tertutup di gelanggang bola keranjang di Sekolah Rendah Mount Greenwood.
Kanak-kanak itu memecahkan rekod dipegang oleh Christian Roberto Lopez Rodriguez dari Sepanyol pada tahun 2021.
Rodriguez mencatatkan masa selama sejam, enam minit dan 38 saat.
Sementara itu, Henry berkata, dia melakukan cabaran itu sebagai memperingati datuknya, James Jay Canna yang meninggal dunia pada usia 74 tahun akibat penyakit kanser.
Menurut Henry, cabaran rekod dunia dilakukan itu membolehkannya mengumpul dana sebanyak AS$2,800 (RM12,056) untuk penyelidikan kanser.
“Datuk saya amat menyukai permainan bola keranjang, jadi saya melakukan cabaran rekod dunia itu hanya untuk beliau,” katanya.