China mahu perang tamat di Ukraine

China mahu perang tamat di Ukraine

ORANG ramai berkumpul tanda protes sempena satu tahun pencerobohan Russia ke atas Ukraine, di Pantai Hallandale, Florida. -AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIJING: China mahu satu rundingan damai segera diadakan bagi menamatkan perang di Ukraine, tetapi beberapa kuasa Barat menolak cadangan itu sambil memberi amaran terhadap hubungan rapat Beijing dengan Moscow.

Cadangan China itu dibuat susulan lawatan diplomat tertinggi negara itu, Wang Yi ke Moscow Rabu lalu di mana beliau bertemu Presiden Russia, Vladimir Putin dan Menteri Luar Russia, Sergei Lavrov.

Selepas rundingan itu, Yi dipetik oleh agensi berita kerajaan China, Xinhua sebagai berkata, Beijing bersedia untuk mendalamkan kepercayaan politik dan menguatkan penyelarasan strategik dengan Moscow.

ZELENSKYY MAHU JUMPA XI JINPING
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) juga dikatakan berhati-hati terhadap cadangan China melalui dokumen 12 perkara terutamanya mengenai gesaan tidak menggunakan senjata nuklear dalam konflik itu.

Malah, Russia dilaporkan bertindak balas positif terhadap usaha Beijing itu.

“Kami setuju dan berkongsi dengan pandangan Beijing,” kata Kementerian Luar Russia di Moscow dalam satu kenyataan.

Semalam, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy berkata, beliau merancang untuk bertemu pemimpin China, Xi Jinping bagi membincangkan cadangan Beijing tersebut.

Bercakap pada ulang tahun pertama pencerobohan besar-besaran Russia, beliau berkata, cadangan itu akan memberi isyarat bahawa China mahu terlibat dalam usaha mencari keamanan.

“Saya benar-benar mahu percaya bahawa China tidak akan membekalkan senjata kepada Russia,” katanya.

DOKUMEN 12 PERKARA DIRAGUI
Rancangan China dikatakan memerlukan satu rundingan damai dan menghormati kedaulatan negara.

Bagaimanapun, dokumen 12 perkara yang dikemukakan China itu tidak secara khusus mengatakan bahawa Russia mesti mengundurkan tenteranya dari Ukraine.

Malah, dokumen itu juga mengutuk penggunaan sekatan unilateral yang dilihat sebagai kritikan tersembunyi terhadap sekutu Ukraine di Barat.

Setakat ini, pihak berkuasa China tidak menyahut secara terbuka gesaan Zelenskyy untuk mengadakan pertemuan dengan Jinping.

CHINA DITUDUH BEKAL SENJATA
Awal minggu ini, Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken berkata, Beijing mempertimbangkan untuk membekalkan senjata dan peluru kepada Russia, satu tuntutan yang dinafikan sekeras-kerasnya oleh Beijing.

Jumaat lalu, media AS sekali lagi melaporkan bahawa kerajaan China sedang mempertimbangkan untuk menghantar dron dan peluru meriam ke Moscow.

Ditanya mengenai rancangan China, Presiden AS, Joe Biden memberitahu ABC News, langkah itu difahamkan dipuji oleh Presiden Russia dan hanya memberi manfaat kepada Russia.

“Jadi, bagaimana ia boleh menjadi sesuatu yang baik?

“Saya tidak melihat apa-apa dalam rancangan itu yang akan menunjukkan bahawa ada sesuatu yang akan memberi manfaat kepada sesiapa selain Russia,” tambahnya.

Pengarang Hal Ehwal Dunia BBC, John Simpson berkata, China nampaknya berpihak kepada Russia walaupun ia ingin mencari jalan untuk menyelamatkan Putin dengan mengatur beberapa jenis perjanjian damai. -BBC/AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya