WASHINGTON: Amerika Syarikat mengumumkan peraturan baharu iaitu menyekat puluhan ribu pencari suaka politik yang tiba di sempadan selatan negara itu.
Lapor BBC, peraturan yang dicadangkan itu akan memberi kuasa kepada pegawai-pegawai sempadan untuk menolak pencari suaka bagi tujuan penghijrahan yang sah atau yang gagal mendapatkan perlindungan di negara yang mereka lalui untuk tiba di AS.
Selain itu, individu yang didapati melanggar peraturan berkenaan akan dihalang daripada memasuki semula AS selama lima tahun.
Disifatkan sebagai satu langkah kecemasan, cadangan itu akan menamatkan dasar kontroversi, Arahan Tajuk 42 yang dilaksanakan pada 2020 di bawah pentadbiran bekas Presiden Republikan, Donald Trump untuk mengusir pemohon suaka atas nama kesihatan awam.
Dalam satu kenyataan bersama, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS) dan Jabatan Kehakiman (DOJ) menyifatkan dasar yang dicadangkan itu sebagai langkah sementara yang direka untuk menangani lonjakan lintasan sempadan selepas Arahan Tajuk 42 ditarik balik.
Kesatuan Kebebasan Awam Amerika (ACLU) dalam ciapan Twitter memberitahu, mahkamah sudah lama mengiktiraf keputusan seseorang untuk tidak mendapatkan suaka ketika dalam transit ke AS bagi mendapatkan perlindungan di sini.
“Kami berjaya melawan Presiden Trump atas larangan serupa di mahkamah. Jadi, Presiden AS, Joe Biden tidak seharusnya melakukan perkara serupa,” menurut badan itu.
Sementara itu, pentadbiran Biden menyifatkan dasar itu sebagai peluang untuk menggalakkan penggunaan proses undang-undang baharu dan sedia ada serta tidak memberi insentif kepada individu yang melintas sempadan.
Kerajaan Biden juga mengumumkan akan menerima maklum balas orang ramai mengenai cadangan itu selama 30 hari.
Peraturan itu menandakan salah satu percubaan paling luas daripada pentadbiran Biden untuk menyekat pergerakan tanpa dokumen merentasi sempadan AS-Mexico.
Rekod pada 2022, Peronda Sempadan AS mendokumenkan 2,378,944 tangkapan di sempadan itu.
Republikan menekan Biden untuk membanteras rentas sempadan secara haram berikutan bimbang lonjakan kemasukan yanfg boleh mengatasi sumber kerajaan.
Pada bulan Januari, pentadbiran AS memperluaskan inisiatif yang pada asalnya ditujukan kepada pencari suaka Venezuela termasuk orang Nicaragua, Haiti dan Cuba.
caption
PERONDA Sempadan AS menahan pendatang tanpa izin berhampiran sempadan AS-Mexico. -AFP