WASHINGTON: Tentera Amerika Syarikat (AS) dilaporkan masih mencari saki-baki belon pengintip China yang ditembak jatuh di luar perairan Carolina Selatan, Sabtu lalu.
Lapor Channel News Asia, Komander Komando Pertahanan Aeroangkasa Amerika Utara dan Komando Utara AS, Jeneral Glen VanHerck berkata, tentera Laut AS kini berusaha untuk mendapatkan semula serpihan belon berkenaan dan muatannya manakala pengawal pantai menyediakan kemudahan keselamatan untuk menjayakan operasi itu.
Misi pencarian itu bagaimanapun akan memberi gambaran kepada AS tentang keupayaan pengintipan China walaupun terdapat pegawai AS berterusan memperkecilkan kesan belon itu terhadap keselamatan negara.
Sabtu lalu, sebuah jet pejuang Tentera Udara AS menembak jatuh belon itu di luar pantai Carolina Selatan, seminggu selepas ia mula memasuki ruang udara AS berhampiran Alaska.
VanHerck berkata, kejadian itu berlaku di atas perairan wilayah AS.
China bagaimanapun membantah tindakan itu yang dianggap keterlaluan.
Penganalisis politik berkata, sebarang tindak balas oleh Beijing mungkin mengambil kira kesan bagi mengelakkan hubungan yang semakin buruk.
Ahli Parlimen Republikan kelmarin mengkritik Presiden AS, Joe Biden kerana menunggu beberapa hari untuk menembak jatuh belon itu ketika ia terapung di atas ruang udara Amerika Syarikat.
Mereka mendakwa AS menunjukkan kelemahan terhadap China.
Tom Cotton dari Republikan yang juga ahli Jawatankuasa Perkhidmatan Bersenjata Senat berkata, beliau berfikir keengganan presiden untuk mengambil sebarang tindakan kerana enggan dilihat sebagai provokatif atau konfrontasi terhadap komunis China.
Bekas Presiden AS, Donald Trump dan bekas pengarah perisikan negaranya, John Ratcliffe menafikan penilaian Setiausaha Pertahanan, Lloyd Austin bahawa belon serupa melintasi ruang udara AS semasa dirinya menjadi presiden.
“China terlalu menghormati Trump dan ia tidak pernah berlaku,” tulis Trump dalam laman sosial, Truth Social.
Bagaimanapun, wakil Republikan, Michael Waltz menyokong pandangan Austin dan memberitahu Washington Post bahawa Pentagon pernah memberitahu Kongres bahawa belon China dikesan berhampiran AS beberapa kali semasa tempoh pentadbiran Trump.