26 juta penduduk Turkiye-Syria perlu bantuan kemanusiaan

26 juta penduduk Turkiye-Syria perlu bantuan kemanusiaan

GAMBAR menunjukkan sebahagian bangunan yang musnah di Antakya berikutan dua gempa bumi susulan melanda pada pukul 8.04 malam (waktu tempatan). -AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ANTAKYA: Kira-kira 26 juta penduduk tenggara Turkiye dan utara Syria yang terjejas akibat gempa bumi kuat pada 6 Februa­ri lalu mengharapkan bantuan kemanusiaan antarabangsa.

Hal ini berikutan ratusan kemudahan awam di kedua-dua buah negara musnah seperti klinik, hospital dan pusat-pusat perubatan komuniti.

Malah, dilaporkan kira-kira 356,000 mangsa gempa bumi di kedua-dua negara terdiri daripada wanita hamil yang memerlukan rawatan reproduktif de­ngan segera.

SEKTOR KESIHATAN KRITIKAL
Agensi Kesihatan Seksual dan Reproduktif Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFPA) dalam kenyataannya berkata, keadaan itu menunjukkan situa­si kritikal sektor kesihatan di wilayah-wilayah yang terlibat gempa pada waktu ini.

“Mereka termasuk 226,000 wanita di Turkiye dan 130,000 di Syria, kira-kira 38,800 daripadanya akan bersalin pada bulan depan,” menurut agensi tersebut.

Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Eropah, Hans Kluge berkata, pihaknya sendiri menyediakan bantuan menyelamat terbesarnya ke Turkiye sejak penubuhan organisasi itu 75 tahun lalu.

Katanya, pihaknya menyediakan rawatan awal kepada mangsa-mangsa yang tercedera di dalam khemah-khemah yang didirikan di kawasan-kawasan yang terjejas.

DUA GEMPA SUSULAN
Dalam pada itu, kelmarin, dua gempa susulan berukuran 6.4 dan 5.8 magnitud melanda wilayah Hatay, selatan Turkiye dan sempadan Syria pada pukul 8.04 malam (1.04 pagi waktu Malaysia).

Agensi Pengurusan Bencana dan Kecemasan (AFAD) Turkiye berkata, dalam tragedi terbaharu itu, sekurang-kurangnya tiga maut dan mencederakan lebih 300 penduduk.

Menteri Dalam Negeri Turkiye, Süleyman Soylu berkata, pusat gempa yang berada di daerah Defne di Hatay mengesan 26 gegaran susulan sejak 6 Februari lalu.

Di bandar Antakya, tiga lelaki dilaporkan terperangkap apabila sebuah bangunan runtuh, berdasarkan cerita daripada saudara mangsa yang terlibat.

Beratus-ratus penyelamat Turkiye mengaktifkan semula operasi menyelamat dan cuba menghubungi mangsa-mangsa yang terperangkap.

Kumpulan penyelamat sukarelawan Syria, White Helmets pula berkata, di barat laut Syria, lebih 130 orang tercedera dan beberapa bangunan runtuh.

“Pasukan kami berusaha untuk membawa mereka yang cedera ke hospital, memeriksa kampung dan bandar yang terjejas dan mengalihkan runtuhan untuk membuka jalan bagi ambulans,” kata White Helmets.

Pada waktu ini, pihak berkuasa Turkiye menggesa orang ramai menjauhi bangunan-ba­ngunan tinggi bagi menge­lakkan risiko terperangkap di bawah runtuhan.

Naib Presiden Turkiye, Fuat Oktay turut meminta orang ramai tidak memasuki bangunan kediaman mereka yang rosak terutamanya untuk mengambil barang-barang peribadi masing-masing.

Katanya, hospital-hospital medan yang dibuka di kawasan terjejas gempa bumi turut menyediakan perkhidmatan kepada pesakit-pesakit.–AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya