LOMBOK: Pemilik akaun TikTok mengakui menjana pendapatan lumayan selepas video secara langsung menunjukkan golongan wanita warga emas mandi lumpur di Kampung Setanggor di Lombok Tengah yang dihasilkannya tular di media sosial baru-baru ini.
Lapor Kompas.com, pemilik akaun @intan_komalasari92 atau nama sebenarnya Sultan Akhyar menerima kecaman ramai warga net kerana menyuruh wanita warga emas mandi kolam atau mandi lumpur berjam-jam lamanya.
Ramai warga net turut beranggapan perbuatan itu seumpama mengemis di dalam talian.
Dia mengaku sengaja mencipta kandungan itu untuk mendapatkan wang, malah memberitahu mampu membeli barangan mewah hasil daripada video TikTok secara langsung itu.
Sultan turut mempamerkan beberapa barangan termasuk motosikal sukan, set komputer, telefon bimbit terkini termasuk bilik yang dipasang penghawa dingin dan sebuah motosikal berharga 35 juta rupiah (RM9,986).
Sementara itu, seorang nenek bernama Layar Sari, 55, mengakui tindakan itu adalah atas kehendaknya sendiri.
Menurutnya, dia mendapat wang lebih mudah daripada bekerja mencangkul di sawah.
“Sejujurnya saya tidak pernah dipaksa, saya sukarela datang ke sini minta bekerja sebagai pelakon mandi lumpur.
“Hasil pendapatan di TikTok kami bahagi dua, Sultan dapat separuh, saya dapat separuh. Saya boleh mengutip kira-kira 9 juta rupiah (RM2,567) melalui video ini,” katanya.