JAKARTA: Sejumlah gempa bumi menggegarkan beberapa darah di seluruh Indonesia dalam tempoh lima jam terakhir sehingga awal pagi ini.
Gempa pertama pada kekuatan 3.3 skala Richter yang berlaku di Sukabumi, Jawa Barat.
Berdasarkan maklumat Badan Meteorologi, Iklim dan Geofizik Indonesia (BMKG), gempa itu berlaku pada pukul 11.38 malam waktu tempatan dengan berpusat 99 kilometer ke tenggara Sukabumi.
Gempa itu diukur berlaku pada kedalaman 29 kilometer.
Selain itu, gempa bumi kedua pula menggegarkan Tapanuli Utara di Sumatera Utara dengan magnitud 3.8.
Gempa ketiga pula dilaporkan dikesan di Buol, Sulawesi tengah dengan kekuatan 3.4 Richter.
Kawasan Keerom di Papua merekodkan gegaran gempa bumi sekuat 5.5 Richter dengan berpusat 85 kilometer ke barat laut Keerom dan kedalaman 10 kilometer, sekali gus mencatatkan magnitud gempa terkuat.
Dalam pada itu, Daruba di Maluku Utara dilanda dua gempa bumi masing-masing berukuran 3.5 dan 3.5 Richter.
Penduduk di Cianjur dilaporkan panik sehingga melarikan diri selepas gempa lemah berukuran 1.9 Richter menggegarkan daerah Jawa Barat itu.
Menurut seorang penduduk, biarpun gegaran itu lemah, namun mereka masih boleh merasainya, menyebabkan penduduk panik dan berlari keluar dari rumah.
Gempa bumi Cianjur yang berlaku pada 21 November lalu mencetuskan trauma dalam kalangan penduduk apabila banyak kemusnahan berlaku dan meragut ratusan nyawa.