SEMARANG: Lirik lagu Jawa popular berjudul Jangkrik Genggong yang membawa maksud Semarang sungainya banjir seakan ‘badi’ yang membuatkan ibu kota Jawa Tengah itu tidak terlepas daripada bencana tersebut .
Gabenor Jawa Tengah, Ganjar Pranowo pernah menyatakan hasrat mahu menghapuskan imej Semarang yang sinonim dengan banjir seperti dalam lirik lagu tersebut.
Perkara itu disampaikan Ganjar ketika merasmikan majlis pecah tanah sebagai permulaan projek normalisasi Sungai Terusan Banjir Timur, Kota Semarang empat tahun lalu.
“Saya ingin menghapuskan lagu yang ibarat menjadi ikon kota Semarang yang menceritakan tentang keadaan kota Semarang sekarang.
“Tetapi dengan kejuruteraan terusan banjir timur kali ini, banjir tidak akan ke mana-mana dan boleh diselesaikan,” kata Ganjar seperti dipetik di laman web rasmi Kerajaan Kota Semarang.
Namun, banjir terus membayangi kota Semarang apabila beberapa kawasan rumah termasuk jalan Kaligawe Raya masih ditenggelami air setinggi paras lutut sejak empat hari lalu.
Menurut tinjauan Kompas.com hanya lori besar yang boleh melalui dan merentas kawasan berkenaan sementara kereta dan kenderaan bermotor memilih berpatah balik daripada mengambil risiko terperangkap dalam banjir.
Datuk Bandar Semarang, Hevearita Gunaryanti Rahayu bersama Menteri Pekerjaan Umum dan Perumahan Rakyat (PUPR), Basuki Hadimuljono yang turun padang meninjau keadaan turut membawa masuk pam dari pelbagai kawasan untuk menyedut air banjir.