LONDON: Kerajaan Scotland akan menghentikan pemindahan wanita transgender dengan rekod keganasan terhadap wanita ke semua penjara wanita di negara itu.
Langkah itu diambil beberapa hari selepas seorang perogol maknyah dikeluarkan dari penjara negara itu.
Ia juga merupakan perkembangan terbaharu dalam kontroversi yang sudah lama berlarutan di negara berkenaan.
Pengumuman kerajaan itu dibuat berikutan terdapat bantahan awam selepas wanita transgender, Isla Bryson, 31, disabitkan kesalahan merogol dua wanita sebelum tempoh peralihannya untuk dibebaskan dari penjara wanita Cornton Vale yang kesemuanya wanita.
Media Britain juga melaporkan bahawa seorang lagi banduan wanita transgender, Tiffany Scott, dianggap berisiko selepas mengganggu seorang gadis berusia 13 tahun yang akan dipindahkan ke penjara wanita.
Menteri Kehakiman Scotland, Keith Brown berkata, beliau turut mengarahkan semakan segera terhadap amalan semasa sistem perundangan di negara itu.
Kata Brown, isu wanita transgender melakukan kesalahan ganas dan seksual adalah subjek yang sangat beremosi dan kebimbangan orang ramai boleh difahami.
Tetapi, jelasnya lagi, beliau memberi amaran kepada orang ramai bahawa stigma terhadap wanita transgender adalah merupakan satu ancaman sambil menekankan bahawa lelaki pemangsa adalah lebih berisiko kepada wanita.
Isu transgender menjadi perhatian di Scotland selepas kerajaan meluluskan undang-undang pada Disember tahun lalu yang memudahkan orang ramai mengenal pasti jantina mereka.
Brown berkata, pengumuman mengenai perkara itu (pengasingan transgender) kelmarin tidak ada kaitan dengan undang-undang Scotland yang disekat termasuk keperluan untuk diagnosis perubatan bagi mengenal pasti diri sebagai transgender dan menurunkan umur kelayakan daripada 18 kepada 16 tahun.-AFP