Ribut: puluhan ribu penduduk California diarah berlindung

Ribut: puluhan ribu penduduk California diarah berlindung

BEBERAPA penduduk melihat serpihan kayu yang dibawa ribut ke pesisiran pantai sekitar Montecito, California, kelmarin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MONTECITO: Puluhan ribu penduduk diarah berpindah dan mencari tempat perlindungan (evakuasi) di California setelah negeri itu dilanda hujan lebat dan ribut sehingga mengorbankan 17 nyawa.

Selain ribut, hujan lebat di sini turut menyebabkan banjir kilat yang menutup lebuh raya utama, menumbangkan pokok dan menghanyutkan pemandu dan penumpang termasuk seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun yang masih hilang di tengah negeri berkenaan.

Malah, lebih banyak hujan dan salji dijangka membadai negeri itu yang merupakan negeri paling ramai penduduk di Amerika Syarikat.

Selasa lalu, kira-kira 110,000 rumah dan premis perniagaan di sini terputus bekalan elektrik, menurut laman Poweroutage.us.

Menurut Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan (NWS), ribut baharu juga dijangka membadai negeri itu dengan hujan sebanyak tujuh inci (18 sentimeter) di utara California menjelang Rabu (semalam) dan beberapa kaki lagi litupan salji di pergunungan Sierra Nevada.

NWS membayangkan ‘serangan tanpa henti kejadian sungai atmosfera’ di California yang merupakan kejadian ribut paling kuat sejak 2005.

Gabenor California, Gavin Newsom berkata, sekurang-kurangnya 34,000 orang diarah menyelamatkan diri daripada ribut itu dengan lebih banyak jangkaan bahaya.

“Hakikatnya kami tidak akan keluar dari tempat perlindungan; kami menjangkakan ribut ini berterusan sekurang-kurangnya sehingga 18 Januari ini.

“Kami kini sahkan terdapat 17 kematian,” katanya kepada pemberita.

Bandar Montecito dilanda hujan lebat yang mengundang kepada banjir lumpur selain tanah bukit yang basah berminggu-minggu akibat hujan berisiko untuk runtuh sehingga menyebabkan kerajaan mengambil langkah arahan evakuasi.

Di bandar ini juga, hartanahnya berjuta-juta dolar, dikelilingi kawasan luar bandar California yang indah dan menakjubkan selain amat terdedah kepada banjir lumpur kerana ia terletak di kaki banjaran gunung yang musnah akibat kebakaran lima tahun lalu.

Penduduk, Daniel DeMuyer berkata, di sekeliling terdapat gunung-ganang dan potensi untuk berlaku tanah runtuh itu sangat tinggi.

“Ini adalah harga yang perlu dibayar apabila memilih untuk tinggal di kawasan yang indah, apabila hujan lebat, ia boleh menyebabkan kemusnahan,” ujarnya.-AFP
Caption
Penduduk berjalan di kawasan dipenuhi serpihan kayu yang dibawa oleh ribut yang melanda bandar Montecito, California, baru-baru ini. -AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya