STOCKHOLM: Perdana Menteri Sweden, Ulf Kristersson mengutuk tindakan pihak yang membakar senaskah al-Quran di Stockholm, Sabtu lalu.
Kristersson menyifatkan perbuatan itu `tidak menghormati’ sehingga menimbulkan ketegangan dengan Turkiye ketika Ankara menyekat usaha negara Nordik itu untuk menyertai pakatan tentera Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).
Pemimpin itu dalam satu ciapan memaklumkan kebebasan bersuara adalah sebahagian asas demokrasi namun bukan semua perkara yang sah semestinya sesuai dilakukan.
“Tindakan membakar kitab suci umat Islam adalah perbuatan yang tidak menghormati.
“Saya menzahirkan rasa simpati kepada semua umat Islam yang tersinggung dengan kejadian berlaku di Stockholm,” katanya.
Sabtu lalu, pemimpin parti politik berhaluan kanan, Rasmus Paludan membakar al-Quran di hadapan kedutaan Turkiye di ibu negara Sweden.
Akibat berang dengan tindakan polis Sweden membenarkan Paludan melakukan protes itu, Turkiye membatalkan lawatan menteri pertahanan, Pal Jonson dan memanggil duta Sweden ke Ankara berhubung kejadian membakar al-Quran.
Tindakan Paludan menjejaskan lagi hubungan ketika Stockholm cuba menyakinkan anggota NATO, Turkiye untuk meluluskan Sweden dan Finland menyertai pakatan tentera.
Bidaan Sweden terhenti di tengah-tengah tuntutan Ankara supaya Stockholm menyerahkan aktivis Kurdish dan menghalang demonstrasi menyerang kepimpinan Turkiye.
Sementara itu, beberapa negara Islam turut mengecam tindakan ahli politik tersebut membakar al-Quran.
Menurut Maghribi, kerajaannya terkejut dengan keputusan pihak berkuasa Sweden yang membenarkan tindakan sedemikian berlaku.
Selain itu, Indonesia, Malaysia, Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan Pertubuhan Kerjasama Islam turut mengecam kejadian tersebut.
Jakarta menegaskan tindakan menghina al-Quran dengan membakar kitab suci itu telah menyakiti dan mencemarkan toleransi beragama.
Malah, tegas negara itu, `kebebasan bersuara harus dilaksanakan dengan cara yang bertanggungjawab’.
Sabtu lalu, puluhan penunjuk perasaan berkumpul di hadapan konsulat Sweden di Istanbul dengan membakar bendera negara nordik itu dan menyeru Turkiye memutuskan hubungan diplomatik dengan Stockholm.
Paludan yang sebelum ini disabitkan atas kesalahan berkaitan isu perkauman, mencetuskan rusuhan di Sweden pada tahun lalu apabila melakukan lawatan ke negara itu dan membakar beberapa salinan al-Quran secara terbuka. – AFP