PARIS: Kerajaan Perancis kekal dengan pendirian untuk membentangkan rang undang-undang berkaitan rancangan memperkenalkan usia persaraan pada umur 64 tahun berbanding 62 tahun pada waktu ini.
Malah, Perdana Menteri Perancis, Elisabeth Borne kelmarin menolak sebarang rundingan berhubung perkara itu dengan mana-mana pihak terutamanya daripada kesatuan sekerja.
Bahkan, kerajaan juga tidak akan melayan gerakan kesatuan sekerja yang mahu melakukan protes besar-besaran dan mogok menentang pembaharuan berkenaan.
PAKEJ PEMBAHARUAN KERAJAAN
Peningkatan umur persaraan minimum kepada 64 tahun berbanding 62 tahun sekarang adalah sebahagian daripada pakej pembaharuan utama kerajaan yang didorong oleh Presiden Perancis, Emmanuel Macron bagi memastikan pembiayaan masa depan yang lebih stabil dalam sistem pencen Perancis.
Reaksi terhadap pembaharuan itu, lebih sejuta ahli-ahli kesatuan sekerja melancarkan protes jalanan di seluruh Perancis pada 19 Januari lalu sehingga memaksa kerajaan mengambil beberapa langkah.
Malah, kerajaan mempertimbangkan untuk berunding mengenai bilangan tahun mencarum yang diperlukan bagi melayakkan pencen penuh yang diterima, tawaran istimewa bagi individu mula bekerja pada usia muda, peruntukan untuk ibu yang menangguhkan kerjaya untuk menjaga anak dan mereka yang melabur dalam pendidikan lanjutan.
Bagaimanapun, menurut Borne kepada penyiar Franceinfo, tajuk had umur 64 tahun bagaimanapun tidak boleh dirundingkan.
Kerajaan mempunyai pilihan untuk meluluskan rang undang-undang itu tanpa melalui proses undian di bawah kuasa perlembagaan khas, namun, berisiko mencetuskan undi tidak percaya dan seterusnya memaksa pilihan raya umum.
TETAP MAHU BERUNDING
Sementara itu, kesatuan sekerja memberi reaksi bahawa cadangan berkenaan perlu diteruskan biarpun mereka mengalu-alukan kesediaan berunding mengenai sebahagian daripada perinciannya.
Menyifatkan reformasi itu sebagai tidak adil, lapan kesatuan sekerja utama Perancis berharap dapat menggerakkan protes seterusnya pada skala lebih besar hari ini berbanding pada protes awal 19 Januari lalu.
Kerajaan dan kesatuan sekerja masing-masing menyifatkan protes berkenaan sebagai ‘ujian besar’.
TUNJUK PERASAAN BESAR-BESARAN
Selain perarakan, kesatuan sekerja menggesa tindakan tunjuk perasaan secara meluas diadakan dengan perkhidmatan kereta api dan pengangkutan awam dijangka terjejas teruk.
Ia juga dijangka menjejaskan operasi di sekolah dan pentadbiran dengan beberapa pihak berkuasa tempatan sudah mengumumkan penutupan ruang awam seperti stadium.
Sesetengah kesatuan turut mengesyorkan tunjuk perasaan pada Februari ini, membabitkan pelabuhan komersial, kilang penapisan dan loji jana kuasa.
Pemerhati pula berpendapat, kesatuan sekerja mengambil risiko besar kerana jika sokongan tunjuk perasaan merosot hari ini, tuntutan mereka terhadap kerajaan selepas ini akan terjejas.
Ahli Konfederasi Buruh Am Perancis (CGT), Celine Verzeletti berkata, pihaknya yakin akan mendapat sokongan ramai dalam tunjuk perasaan itu.
Malah, Ketua Kesatuan Konfederasi Buruh Demokratik Perancis (CFDT), Laurent Berger berkata, merujuk kepada tinjauan pendapat, ramai yang tidak bersetuju dengan pembaharuan kerajaan berkenaan.
Malah, Berger memberi amaran bahawa kerajaan sudah membuat satu kesilapan kerana mengabaikan mobilisasi rakyat.
Sementara itu, pemimpin parti komunis, Fabien Roussel turut menggelar kenyataan Perdana Menteri Perancis sebagai satu provokasi dan menyifatkan kerajaan tidak fleksibel.
Manakala Ketua Perhimpunan Nasional berhaluan kanan, Marine Le Pen mengulangi penentangannya terhadap rancangan tidak adil dan kejam kerajaan. –AFP