LONDON: Syarikat Belanda-Norway, SolarDuck sedang bekerjasama dengan syarikat tenaga Jerman, RWE untuk membina sebuah loji solar terapung di ladang angin Laut Utara.
Ia bakal menjadi loji solar terapung luar pesisir yang terbesar di dunia, dengan kapasiti mampu membekalkan tenaga elektrik kepada ratusan buah kediaman.
Syarikat itu memaklumkan panel solar tersebut akan dibina atas platform yang dinaikkan beberapa meter dari permukaan laut.
Menurut syarikat itu, loji solar terapung itu dijangka beroperasi pada 2026.
Jelas syarikat itu, loji tersebut akan menggunakan kabel sedia ada untuk ladang angin bagi menyalurkan semula bekalan elektrik ke pantai.
Sementara itu, Ketua Eksekutif Ocean Sun, Borge Bjorneklett berkata, syarikatnya membina sebuah pelantar terapung yang mana panel solar terletak di atas tapak yang melentur apabila ombak melepasi di bahagian bawahnya.
“Ia mempunyai kesan efektif dalam mengurangkan pukulan ombak kuat serta menghalang pemecahan ombak.
“Oleh kerana panel solar itu rata sepenuhnya, daya yang bertindak ke atasnya berkurangan.
“Malah, disebabkan berada hampir dengan air laut juga menyejukkan sel sekali gus meningkatkan prestasinya,” katanya. – AGENSI