JAKARTA: Seorang penduduk dari Jalan Kampung Malang, Surabaya dijatuhi hukuman penjara selama setahun dua bulan kerana merosakkan wang kertas berjumlah 32 juta rupiah (RM9,094) dengan cara mengguntingnya.
Lapor Kompas.com, Rochmad Hidayat secara sengaja menggunting wang kertas berkenaan sebelum memasukkannya ke dalam mesin pengeluaran wang automatik (ATM).
Mahkamah Daerah Surabaya juga mengenakan denda sebanyak 50 juta rupiah (RM14,214) terhadap Rochmad kerana melanggar Perkara 35 Para (1) Undang-Undang berkaitan Mata Wang.
Sambil memetik laporan Sistem Pengesanan Maklumat (SIP) Kes Mahkamah Daerah Surabaya, panel hakim menyatakan defenden terbukti bersalah melakukan jenayah itu dengan sengaja merosakkan, menggunting wang kertas dengan niat merendahkan martabat rupiah sebagai lambang negara.
“Defenden dihukum atas sebab itu, dia dijatuhi hukuman penjara setahun dua bulan dan didenda 50 juta rupiah dengan syarat jika denda tidak dibayar digantikan dengan tempoh penjara tiga bulan lagi,” kata panel hakim yang diketuai oleh Darwanto.
Hukuman dikenakan terhadap Rochmad dilihat lebih ringan berbanding tuntutan pendakwa raya, Herlambang Adhi Nughoro yang meminta mengenakan penjara setahun enam bulan.
Menurut Herlambang, Rochmad pada mulanya menerima sejumlah wang kertas yang koyak ketika mengeluarkan wang dari mesin ATM.
Katanya, Rochmad kemudian memasukkan semula rupiah itu ke dalam mesin deposit tunai dan ia menerimanya.
“Dia terus melakukan perbuatan itu sebanyak enam kali di beberapa mesin ATM yang berbeza di kawasan Surabaya dari Ogos hingga September 2022.
“Rochmad memotong hujung wang kertas dan kemudian memasukkannya ke dalam mesin ATM,” katanya.
Tambah Herlambang, perbuatan Rochmad dikesan oleh seorang pelanggan yang kemudian melaporkan insiden itu kepada pihak pengurusan bank.
“Bank menjalankan siasatan dan akhirnya membuat laporan polis mengenai tindakan Rochmad,” katanya.