KATHMANDU: Sekurang-kurangnya 16 orang terbunuh selepas sebuah pesawat yang membawa 72 orang penumpang terhempas di Nepal.
Menurut laporan media, pesawat itu terhempas di antara lapangan terbang lama dan baharu Pokhara di tengah Nepal.
Jurucakap syarikat penerbangan, Sudarshan Bartaula berkata, pesawat enjin berkembar ATR 72 yang dikendalikan oleh Yeti Airlines Nepal itu turut membawa dua bayi, empat anak kapal dan 10 warga asing.
“Kami menjangkakan untuk mengenal pasti lebih banyak mayat,” kata jurucakap tentera, Krishna Bhandari.
Perdana Menteri, Pushpa Kamal Dahal berkata, pesawat itu dalam penerbangan dari Kathmandu ke Pokhara dan menggesa anggota keselamatan serta orang ramai turut membantu dalam usaha menyelamat.
Pokhara merupakan sebuah bandar pelancongan yang sibuk kira-kira 200 kilometer di barat ibu kota Kathmandu.
Televisyen tempatan menunjukkan asap hitam tebal berkepul-kepul dari lokasi nahas ketika pekerja penyelamat dengan orang ramai berkumpul di sekitar serpihan pesawat itu.
“Pihak polis sudah berada di lokasi kejadian dan cuba memadamkan api. Semua agensi kini menumpukan usaha memadamkan kebakaran terlebih dahulu dan menyelamatkan penumpang,” kata pegawai tempatan, Gurudutta Dhakal.-AFP